Haram dana asing untuk parti politik, kata G25

Haram dana asing untuk parti politik, kata G25

Kumpulan bekas penjawat awam kanan berkata ia bagi mengekang pengaruh asing dan melindungi kepentingan negara.

G25 berkata jika ahli politik dipertanggungjawabkan atas dana dikutip daripada awam ia akan menggalakkan orang ramai menyumbang kepada parti dan calon pilihan raya.
PETALING JAYA:
Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 menggesa kerajaan mengharamkan dana asing untuk parti politik bagi mengekang pengaruh luar dan melindungi kepentingan negara.

Dalam kenyataan, kumpulan itu menegaskan sebarang undang-undang berkaitan pendanaan politik mesti dengan jelas melarang dana asing.

“Di banyak negara, pendanaan asing untuk parti politik dan ahli politik adalah diharamkan,” kata kenyataan itu.

Ia mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, minggu lalu yang berkata terdapat keperluan segera untuk undang-undang pendanaan politik yang lebih kukuh bagi menutup kelemahan peraturan yang membuka ruang kepada rasuah.

Azalina berkata, walaupun parti politik lazimnya bergantung kepada yuran keahlian, derma, pemilikan aset dan usaha niaga untuk mendapatkan dana, ada pihak mungkin menyalahgunakan keperluan itu untuk mendapatkan pengaruh, dengan harapan menerima balasan dalam bentuk imbuhan atau layanan istimewa.

Desakan serupa untuk mengharamkan sumbangan dana asing bagi parti politik juga pernah dibuat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) tiga tahun lalu.

Pada 2022, KRPPM mencadangkan rang undang-undang pendanaan politik melarang sumbangan daripada sumber asing serta dana daripada agensi kerajaan atau organisasi yang mempunyai konflik kepentingan.

G25 berkata, jika ahli politik dipertanggungjawabkan atas dana dikutip daripada awam ia akan menggalakkan orang ramai untuk menyumbang kepada parti politik dan calon pilihan raya.

“Jika ada undang-undang untuk mengawasi pendanaan politik, lebih ramai individu, institusi dan syarikat sanggup menawarkan sumbangan,” katanya.

Katanya, undang-undang khusus itu juga akan melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan yang berselindung di sebalik kutipan dana politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.