
Beliau berkata, tindakan Bersatu memilih tokoh lain menggantikannya difahami, memandangkan Melaka merupakan negeri berpotensi ditawan Perikatan Nasional (PN), pada pilihan raya akan datang.
“Saya orang yang positif, saya orang parti yang menghormati keputusan kepimpinan,
“Saya kena akur hal itu, terasa hati tak ada, ini perkara positif yang kena ambil hikmah di sebaliknya,” katanya kepada FMT.
Yadzil berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan Rahim sebagai ketua Bersatu Melaka, seperti diumumkan Setiausaha Agung Azmin Ali, semalam.
Rahim, merupakan ketua Bersatu Alor Gajah, pernah memegang jawatan naib presiden Umno sebelum menyertai Bersatu pada Dis 2018.
Sementara itu, Yadzil yang juga ketua pembangkang Melaka, turut berpendapat perubahan berkenaan mungkin langkah pimpinan mengagihkan tugas membabitkannya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertingi (MPT), selain Mas Ermieyati Samsudin sebagai ketua Wanita.
Sebelum ini, wujud cadangan dari akar umbi menggesa Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dilantik ketua Bersatu negeri, susulan dakwaan kelemahan pimpinan Yadzil.
Sementara itu, Mas Ermieyati menyambut baik pelantikan Rahim sambil menambah pihaknya sudah lama bekerjasama dalam pelbagai perkara.
“Saya yakin dan percaya beliau akan mendapat sokongan dokongan dari semua bahagian. Selepas pengumuman pelantikan beliau semalam pun tidak sebarang bantahan dari pemimpin Bersatu di Melaka termasuk bahagian-bahagian.
“Saya dengan Yadzil juga berbesar hati dan sedia membantu beliau. Saya tak dengar apa-apa isu. Kita yakin dengan kemampuan Rahim,” katanya.
Dalam pada itu Adun Sungai Udang Dr Mohd Aleef Yusof, berkata pengalaman dimiliki Rahim mampu membantu Bersatu menawan Melaka.
Katanya, beliau gembira cadangan diterima pimpinan pusat kerana dalam usaha menawan negeri itu, perlu ada pemimpin berpengalaman luas.
“Inilah yang saya bawa kepada kepimpinan Bersatu khususnya Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin bahawa untuk kita menawan Melaka, kita perlu ada pemimpin berpengalaman luas dan kehadiran (Rahim) akan bawa momentum yang sangat bagus,” katanya.