Usah perbesar lagi isu sandwic, kata Zahid

Usah perbesar lagi isu sandwic, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata Jakim telah diarah memastikan kes libat sensitiviti agama dikendalikan dengan teliti.

ahmad zahid hamidi
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, berkata beliau menyerahkan isu sandwic kepada Jakim, KPDN, dan polis untuk dikendalikan.
TELUK BAHANG:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyeru tidak lagi diperbesarkan kontroversi penjualan sandwic berlabel ‘ham & cheese’ diragui status halal di cawangan KK Mart, dalam premis Universiti Malaya (UM).

Zahid yang juga pengerusi Majlis Pembangunan Halal, berkata beliau bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menasihati agar perkara melibatkan sensitiviti agama dikendalikan dengan teliti.

“Saya harap isu ini tidak lagi diperbesarkan kerana pihak rangkaian jualan runcit itu telah mengambil tindakan yang proaktif untuk menarik barangan itu.

“Mungkin satu kesilapan dan kita harap ia jadi pengajaran yang baik,” katanya pada sidang media selepas hadir merasmikan Majlis Penutup Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Zahid ketika mengulas lanjut, berkata isu berbangkit berkenaan perlu diserahkan kepada Jakim, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dan polis untuk dikendalikan.

Sebelum ini, Jakim telah mengesahkan daging digunakan dalam sandwic itu disahkan halal, namun sandwic itu bersama syarikat pengeluarnya tidak mempunyai pensijilan halal.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, menggesa polis dan agensi berkaitan mengambil tindakan susulan tindakan UM menutup dua cawangan KK Mart sementara menunggu siasatan.

Katanya, ‘luka lama’ berhubung penjualan stokin tertera kalimah ‘Allah’ di kedai serbaneka itu tahun lalu masih belum sembuh.

Namun, ulasannya membawa kepada kritikan pedas daripada Naib Presiden MCA Wee Jeck Seng, yang mengingatkan Akmal mengelak mempolitikkan isu terbabit.

Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong, juga tidak bersetuju dengan kenyataan Akmal yang didakwa cuba mensensasikan seolah-olah tiada tindakan diambil.

Pada Selasa, Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming menuduh pihak tertentu membuat kecoh mengenai isu penjualan sandwic dan menyatakan ham hanya merujuk kepada daging awet.

Nga, yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan, berkata ‘turkey ham’ dan ‘chicken ham’ dijual secara terbuka di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.