
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, hal ini kerana kes tersebut turut melibatkan perkhidmatan syarikat itu di negeri lain termasuk Johor.
“Kita juga dapati mereka ini menggunakan ejen-ejen, sebab itu kes ini melibatkan negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur dan Johor.
“Jadi, buat masa ini pasangan suami isteri (itu) akan diambil alih oleh polis Johor,” katanya.
Sementara itu, enam lagi individu yang turut direman selama tiga hari berhubung kes itu telah diberikan jaminan polis, katanya.
Dalam pada itu, Hussein berkata, polis mengesan terdapat unsur penipuan berhubung kes penyelewengan pakej umrah yang membabitkan kerugian RM2.1 juta itu.
Katanya, pemilik syarikat itu juga didapati mempunyai rekod lampau membabitkan kes penipuan berkaitan pelaburan di Johor tahun lepas, yang masih dalam siasatan.
“Kita dapati memang ada unsur penipuan kerana dari segi proses permohonan visa, tempahan penerbangan, penginapan di Arab Saudi dan sebagainya tidak dibuat melalui proses yang betul seperti kebiasaan dilakukan pengusaha syarikat seperti ini,” katanya pada sidang media di IPK Selangor di Shah Alam, lapor Bernama.
Sebelum ini dilaporkan polis menerima 42 laporan membabitkan mangsa, ejen dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan sedang memanggil saksi serta mangsa untuk membantu melengkapkan siasatan.
Pada Rabu lepas, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor menjalankan pemeriksaan di pejabat syarikat pelancongan itu di Sepang.
Pada petang hari sama, pengarah urusan syarikat itu mengadakan sidang media di ibu negara sebelum keadaan bertukar kecoh apabila dia ditahan bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati syarikat itu mula menjalankan perniagaan pada 2022 dan beroperasi dari premis tiga tingkat di Sepang sejak Oktober tahun lepas.