
Mereka bertarung dalam tiga permainan sebelum berjaya menewaskan pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae 21-15, 13-21, 21-16 dalam perlawanan selama 52 minit.
Dengan kemenangan pada kejohanan Super 750 BWF ini, pasangan No 2 dunia itu membawa pulang USD70,300 (RM316,617).
Zakry Latif dan Fairuzizuan Tazari merupakan beregu Malaysia terakhir pernah muncul juara pada Terbuka India 2010.
Dalam perlawanan hari ini, Sze Fei-Izzuddin bermula cukup baik pada set pertama dan menang hanya dalam tempoh 15 minit.
Namun, pasangan Korea Selatan, yang baru menjuarai Terbuka Malaysia minggu lalu, bangkit semula dan menang mudah pada set kedua.
Set ketiga menyaksikan saingan bertenaga Sze Fei-Izzuddin dengan mengawal dari awal dengan jurang mata besar, sekali gus menyukarkan beregu Korea itu mengejar.
Kejayaan hari ini menambah gelaran Siri Super BWF dimenangi Sze Fei-Izzuddin sejak tahun lalu, iaitu Terbuka Artik, Jepun, dan China.