
Rabu lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dilaporkan Utusan Malaysia berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan itu kerana pengilang ‘merungut’ harga kampit itu dibuat pada 2008 dan sebagai kaedah penyelesaian masalah bekalan beras tempatan di pasaran.
Bagaimanapun, Pengerusi PPBMM Mohamad Termizi Yop berkata kerajaan sepatutnya menyelesaikan isu pokok iaitu kekurangan beras tempatan hilang bukan bekalan tidak mencukupi dari pesawah.
Katanya, masalah itu tidak sepatutnya ada kerana pengeluaran beras tempatan mewakili 60% bekalan manakala selebihnya diimport.
“Isunya bukan bekalan beras dari pesawah tak cukup tetapi beras tempatan itu hilang (di pasaran) patut selesai masalah itu, bukan pergi ambil beras import dan campur.
“Bekalan beras tempatan kita cukup sebenarnya cuma cara kawalan itu bermasalah.
“Perlu fokus isu sebenar, soal harga nak naik itu isu kedua, tak guna bincang pasal harga tapi beras (tempatan) tak ada,” katanya kepada FMT.
Wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Muhamad Rafidaus Abu Bakar pula berkata penjualan beras campuran berisiko menyebabkan kualiti beras tempatan terjejas.
Beliau juga mencadangkan kerajaan menyerahkan pembungkusan dibuat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk mengurangkan risiko kehilangan beras tempatan di pasaran.
“Kerajaan patut beri sepenuhnya hak pembungkusan kepada Bernas dan bukan kepada anak syarikat,” katanya.
Termizi turut mencadangkan kerajaan menyelesaikan isu kualiti benih padi supaya pengeluaran beras tempatan dapat menampung 100% bekalan beras negara.
“Hasil pengeluaran kita sekarang satu hektar bersamaan 3.75 metrik tan, sepatutnya boleh minimum satu hektar 7.7 metrik tan baru selesai masalah dan kita tak perlu nak import beras.
“Jadi Jabatan Pertanian, kementerian duduklah semeja bincang macam mana nak meningkatkan hasil padi, kena cari benih berkualiti, buka kepada banyak pihak yang bekal benih supaya pesawah ada pilihan mana benih yang berkualiti,” katanya.