Filipina seru Asean tumpu pada pengurusan bencana

Filipina seru Asean tumpu pada pengurusan bencana

Setiausaha Luar Filipina, Enrique Manalo, berkata risiko perubahan iklim perlu menjadi antara keutamaan kumpulan itu.

rain in Luzon island
Taufan super Man-yi adalah taufan keempat melanda Filipina pada November lalu, membawa angin kencang sekuat 260km/j dan taburan hujan 200mm di pulau Luzon.(Gambar AFP)
LANGKAWI:
Filipina berharap Asean memberi tumpuan kepada inisiatif pengurusan bencana dan perubahan iklim ketika rantau ini berdepan dengan peningkatan risiko bencana alam.

Setiausaha Luar Filipina, Enrique Manalo, berkata negaranya bersedia membincangkan mekanisme Asean untuk tindak balas bencana kerana ‘Filipina sendiri telah mengambil beberapa langkah dalam pengurusan bencana dan pengurangan risiko’.

Dalam wawancara bersama FMT, beliau berkata: “Semua negara, besar atau kecil, terjejas oleh perubahan iklim, yang kini menjadi realiti dan bukan lagi sesuatu yang akan berlaku di masa depan. Adalah penting bagi Asean untuk memberi perhatian kepada isu ini sebagai satu kumpulan.”

Manalo, yang kini berada di Langkawi menghadiri Pemukiman Menteri Luar Asean. Ia dihadiri oleh menteri luar dan pegawai kanan dari semua 10 negara anggota Asean, dengan menteri luar Timor Leste turut hadir sebagai pemerhati.

Enrique Manalo
Enrique Manalo.

Beliau berkata, salah satu inisiatif utama dalam tindak balas bencana adalah Filipina menjadi tuan rumah kepada sebuah lembaga yang menyediakan dana bantuan bencana.

“Filipina menjadi ibu pejabat kepada Lembaga Dana Kerugian dan Kerosakan, yang memainkan peranan penting dalam memperoleh pembiayaan bagi membantu negara melaksanakan aktiviti berkaitan tindakan iklim, terutamanya dalam mitigasi dan adaptasi,” kata Manalo.

Lembaga ini dijangka mula menguruskan pengagihan dana tahun ini.

Filipina disenaraikan sebagai negara paling terdedah kepada bencana di dunia, dengan 87% populasinya terjejas dalam tempoh lima tahun lalu.

Sementara itu, Asia Tenggara antara kawasan paling kerap dilanda bencana alam, mencatat lebih 150 bencana setiap tahun termasuk banjir, ribut, dan gempa bumi.

Selepas tsunami Lautan Hindi pada 2004, negara-negara Asean menandatangani perjanjian untuk bekerjasama dalam pengurusan bencana dan menubuhkan pusat penyelarasan bantuan kemanusiaan pada 2011.

Sementara itu, felo penyelidik dari Universiti Teknologi Nanyang, Joel Ng, bersetuju bahawa Asean perlu memberi keutamaan kepada pengurusan perubahan iklim.

Katanya, peralihan kepada tenaga yang lebih mampan dan mesra alam bukan sahaja bermanfaat kepada alam sekitar di rantau ini, tetapi juga memberi kelebihan dari segi ekonomi.

“Dengan memanfaatkan sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui yang dimiliki jiran, semua pihak memperoleh manfaat. Akses ini membolehkan kita menggunakan tenaga bersih, meningkatkan pasaran aset, dan membolehkan rantau yang kaya dengan sumber tenaga mendapat manfaat daripada pasaran yang lebih besar.

“Ia mungkin tidak mendapat perhatian besar, tetapi ini adalah isu penting, dan saya berharap kita dapat mencapai kemajuan yang ketara selaras dengan tema kelestarian,”* katanya.

Permukiman Langkawi acara pertama yang dianjurkan Malaysia sebagai pengerusi Asean.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.