Pakatan maritim Asean ‘mampu pertingkat rundingan’ kod tatalaku Laut China Selatan

Pakatan maritim Asean ‘mampu pertingkat rundingan’ kod tatalaku Laut China Selatan

Usaha negara anggota Asean boleh dorong kemajuan rundingan, kata Setiausaha Luar Filipina Enrique Manalo.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Enrique Manalo mengulangi komitmen penuh pihaknya terhadap rundingan kod tatalaku Laut China Selatan.
LANGKAWI:
Kerjasama maritim yang dipertingkat dalam kalangan negara Asean boleh membantu memajukan rundingan kod tatalaku Laut China Selatan, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Enrique Manalo.

“Kita ada rundingan asas antara negara Asean dan China, tetapi ini tidak menghalang negara lain daripada mengusahakan kerjasama maritim antara satu sama lain, kerana itu juga akan membantu, walaupun dengan China,” katanya.

“Semua ini boleh menjadi dan menyokong rundingan mengenai kod itu,” katanya kepada FMT.

Manalo, yang kini berada di Langkawi menghadiri Pemukiman Menteri Luar Asean, mengulangi komitmen penuh Filipina terhadap rundingan kod tatalaku itu, yang bermula pada 2018.

Garis panduan tatalaku itu disebut-sebut sejak 1990an susulan tuntutan tegas China ke atas sebahagian besar Laut China Selatan.

Manolo berkata, isu-isu kritikal mesti ditangani segera, seperti sama ada kod tatalaku itu akan mengikat dari segi undang-undang, skop serta penjajarannya dengan undang-undang antarabangsa, khususnya konvensyen undang-undang laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Hanya dengan cara ini kita benar-benar mampu mendorong dan menggerakkan rundingan,” katanya.

“Kita tidak boleh lakukan perkara itu dengan cara yang berkesan melainkan kita juga mula membincangkan isu-isu itu.”

Perkembangan kod tatalaku itu perlahan, dalam pada Filipina, salah satu negara peneraju, semakin lantang menyuarakan kepentingan memastikan perjanjian itu substantif dan mengikat dari segi undang-undang

Tuntutan China ke atas Laut China Selatan dipertikaikan oleh Filipina, Vietnam, dan Malaysia.

Bulan lepas, Malaysia menjadi negara Asia Tenggara pertama yang menandatangani perkongsian strategik komprehensif dengan Vietnam.

Difahamkan Indonesia dan Filipina akan turut berbuat perkara sama, ketika negara-negara Asean mula bersatu untuk lebih tegas membantah tuntutan China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.