Peniaga didakwa tipu pelaburan ikan air tawar lebih RM600,000

Peniaga didakwa tipu pelaburan ikan air tawar lebih RM600,000

Tertuduh didakwa menipu seorang lelaki di sebuah bank di Taman Maluri, Cheras antara 19 April dan 7 Ogos 2017.

mahkamah kuala lumpur
Irma Ryani Ismail @ Semoil mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Seorang peniaga katering mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu seorang lelaki lebih RM600,000 berhubung pelaburan pembekalan ikan air tawar, lapan tahun lalu.

Irma Ryani Ismail @ Semoil, 46, didakwa menipu Mohd Lutfi Osman Haron, 48, dengan menawarkan pelaburan pembekalan ikan air tawar sehingga mendorong mangsa membuat bayaran RM681,312.50 secara berperingkat kepada tertuduh ke dalam dua akaun bank milik tertuduh, iaitu mangsa tidak akan membuat pembayaran itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Maluri, Cheras, antara 19 April dan 7 Ogos 2017 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R Harvind mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala Irma Ryani yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan dia seorang ibu tunggal dan menjalankan perniagaan katering secara kecil-kecilan.

“Saya mohon kurangkan jaminan kerana mempunyai dua anak selain menanggung ibu bapa. Saya sendiri pergi ke balai polis untuk menyerah diri,” kata tertuduh.

Hakim Mohd Kafli Che Ali membenarkan Irma Ryani diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Feb ini untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.