Penglibatan TNB dalam TBB di UK beri manfaat kepada Malaysia, kata Anwar

Penglibatan TNB dalam TBB di UK beri manfaat kepada Malaysia, kata Anwar

Perdana menteri berkata ia membawa manfaat jangka panjang, terutamanya dari segi pindahan teknologi.

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada pelancaran ladang solar berkapasiti 102 Megawatt Eastfield dan Bunkers Hill TNB di UK. (Gambar Bernama )
LONDON:
Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan penglibatan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB) di United Kingdom (UK) akan membawa manfaat jangka panjang yang besar kepada Malaysia, terutamanya dari segi pindahan teknologi.

Perdana menteri menekankan bahawa Malaysia sedang giat mencari pelaburan baharu dalam sektor TBB didorong oleh pertumbuhan teguh ekonomi dan perkembangan pesat di rantau Asia Tenggara.

“Dengan perubahan masa, anda menyedari bahawa kini terdapat peralihan daripada penggunaan tenaga konvensional kepada tenaga baharu, tenaga boleh diperbaharui.

“Dan TNB sebagai pemain utama telah menunjukkan prestasi yang luar biasa,” katanya pada majlis pelancaran ladang solar berkapasiti 102 Megawatt (MW) Eastfield dan Bunkers Hill TNB.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Dalam konteks Asean, Anwar, yang juga menteri kewangan berkata kerajaan akan mengutamakan untuk meningkatkan kerjasama tenaga serantau melalui Grid Kuasa Asean, satu inisiatif kritikal bagi memajukan peralihan tenaga rantau ini.

“Antara langkah utama termasuklah menyepadukan grid tenaga Thai dan Laos ke dalam rangkaian Asean yang lebih luas dan mengeksport tenaga hidroelektrik Sarawak ke Singapura.

“Usaha ini menandakan satu langkah penting ke arah mengukuhkan jaminan tenaga dan mempercepat peralihan tenaga bersih di Selatan Global,” katanya.

Perdana menteri berkata TNB bersama-sama pemain lain telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan penyelidikan bagi meneroka saluran baharu, khususnya dalam bidang TBB dan memuji usaha syarikat utiliti nasional itu kerana meneruskan pelaburan dalam latihan dan kepakaran.

“Skala pelaburan TNB adalah pada peringkat nasional di sini, dan sudah tentunya memerlukan usaha yang besar.

“Saya berterima kasih kepada TNB atas peranan mereka dalam pelan hala tuju peralihan tenaga,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.