Mestilah rakan Hannah sokong dia, ahli akademik beritahu mahkamah

Mestilah rakan Hannah sokong dia, ahli akademik beritahu mahkamah

Kamarul Zaman Yusoff tidak setuju penegasan bahawa Rafizi Ramli dan Saari Sungib, kedua-duanya orang Islam, tidak bantah kandungan buku Hannah Yeoh.

kamarul zaman yusoff
Profesor UUM Kamarul Zaman Yusoff berkata, menteri biasanya menugaskan orang bawahan mereka untuk membaca buku dan memberikan rumusan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli akademik memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Rafizi Ramli daripada PKR dan Saari Sungib daripada Amanah tiada masalah dengan buku autobiografi Hannah Yeoh, ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’.

Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff berkata, Rafizi dan Saari, yang menulis kata pengantar untuk buku itu, ialah sekutu Yeoh, dan pernah menjadi ahli gabungan yang sama pada masa lalu.

Yeoh, daripada DAP, Rafizi dan Saari, yang ketika itu bersama PAS, sebelum ini menganggotai gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat, yang tidak lagi wujud.

“Mestilah mereka akan menyokongnya,” kata Kamarul semasa pemeriksaan semula oleh peguamnya, Khairul Azam Aziz, dalam perbicaraan saman fitnah Yeoh terhadapnya.

Khairul telah meminta Kamarul menjelaskan mengapa beliau tidak bersetuju dengan penegasan peguam Sangeet Kaur Deo sebelum ini bahawa Rafizi dan Saari, kedua-duanya orang Islam, tidak membantah kandungan buku itu.

Sangeet berhujah, ‘lampu hijau’ daripada mereka untuk buku itu menggugat dakwaan Kamarul bahawa ia menyinggung sensitiviti umat Islam.

Khairul: Sangeet bertanya kepada anda tentang dua orang Islam yang mengatakan mereka tiada masalah dengan buku itu. Anda kata anda tidak setuju. Boleh jelaskan kenapa?

Kamarul: Saya tidak setuju kerana Saari dan Rafizi ialah rakan-rakan plaintif.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai pegawai khas menteri persekutuan dan perdana menteri, ahli politik selalu tidak sempat membaca buku.

Katanya, menteri lazimnya menugaskan orang bawahan mereka untuk membaca buku dan memberikan rumusan.

“Saya hanya katakan, ini yang biasa berlaku dengan ahli politik.”

Beliau juga menyatakan bahawa Rafizi, yang kini menteri ekonomi, mahupun Saari, bekas Adun Selangor, tidak merujuk sebarang petikan khusus daripada buku Yeoh sebagai justifikasi sokongan mereka.

Yeoh menyaman Kamarul kerana memfitnah selepas ahli akademik itu menuduhnya ‘menyebar ajaran Kristian melalui politik’.

Menteri belia dan sukan itu mendakwa Kamarul juga menuduhnya memacu ‘agenda Kristian’ dan ‘berhasrat menjadikan Malaysia negara Kristian’.

Yeoh berkata, kata-kata itu menyinggung perasaan, tidak benar sama sekali, dan cubaan berniat jahat untuk memfitnahnya. Beliau menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Kamarul.

Kamarul, yang mengaku menulis kata-kata itu, menegaskan bahawa kenyataannya bersifat fakta, berdasarkan petikan buku Yeoh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Aliza Sulaiman diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.