Banyak ‘kekangan’ sukarkan Malaysia saingi Vietnam, dakwa pengeksport durian

Banyak ‘kekangan’ sukarkan Malaysia saingi Vietnam, dakwa pengeksport durian

Vietnam meninggalkan Malaysia dengan nilai eksport USD3.3 bilion pada tahun lalu.

durian
Durian Malaysia terkenal kerana keenakannya yang digemari masyarakat luar terutama dari China (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Di Malaysia durian terkenal sebagai raja buah kerana rasanya yang enak, terutama jenis Musang King atau Black Thorn.

Namun, usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju eksport terkemuka di dunia dilihat masih jauh berbanding negara Asean lain seperti Vietnam, menurut seorang pengeksport.

Mengikut laporan CNBC baru-baru ini, nilai eksport durian dari Vietnam pada tahun lalu mencecah USD3.3 bilion (RM14.87 bilion), meningkat 7.8 kali ganda berbanding 2022.

Kejayaan itu sebahagian besarnya disebabkan permintaan dari China, di mana durian dianggap sebagai ‘makanan mewah’. Pada Nov 2024, import durian China berjumlah 1.53 juta tan bernilai USD6.83 bilion (RM30.79 bilion).

Tiada statistik berkait Malaysia dinyatakan dalam laporan itu, namun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum ini memberitahu nilai eksport durian pada 2022 berjumlah RM1.14 bilion.

Pengeksport durian dari Raub, Pahang, hanya mahu dikenali Tee memberitahu FMT, ada beberapa faktor menyebabkan jumlah eksport raja buah itu belum mencapai tahap memuaskan, antaranya berkait produktiviti disebabkan kekangan pelbagai peraturan.

Beliau berkata, pengeksport dan pekebun durian bukan hanya berdepan cabaran untuk memenuhi piawaian ketat peringkat antarabangsa tetapi dalam negara yang didakwanya lebih hebat.

Tee mengambil contoh, untuk membina kilang memproses durian bagi tujuan eksport yang memerlukan penggunaan nitrogen, terlalu banyak peraturan dikenakan pihak berkuasa tempatan antaranya perlu dibangunkan di kawasan perindustrian.

“Dari aspek tanaman pun kita berdepan masalah seperti cuaca dan penyakit, malangnya Jabatan Pertanian dilihat tidak proaktif untuk perkenal atau hasilkan racun atau baja baik.

“Kita sendiri ambil langkah sendiri kawal penyakit dan pilih baja sesuai,” katanya, meminta agensi berkaitan mencari jalan membantu pekebun menemukan kaedah pengeluaran sepanjang tahun.

Tee menjelaskan kekangan dan kurangnya langkah membantu pengusaha durian menyebabkan ramai tidak berminat untuk membesarkan ladang. Ini katanya antara punca mengapa keluasan kebun di Malaysia tidak berkembang dan sebesar di Vietnam.

“Malah ramai sudah gulung tikar, masa depan industri durian tak begitu ‘cerah’ walaupun durian kita disukai di peringkat antarabangsa kerana sedap.

“China hanya mahu durian gred A sahaja dan kita hanya dapat eksport 5% sahaja untuk menampung permintaan di sana kerana pengeluaran buah kualiti kita masih rendah,” katanya, yang mengusahakan 40 ekar tanaman durian.

FMT telah menghubungi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk mendapatkan maklum balas berhubung usaha meningkatkan eksport durian Malaysia.

Jun lalu, KPKM meminta Fama mengadakan perbincangan dengan pengusaha durian terutama di kampung-kampung bagi membantu mereka mengeksport buah segar ke China.

Buah durian segar dari Malaysia kini boleh dieksport ke China menerusi pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China, tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.