
Nurhazlina Mohd Ariffin dari Universiti Utara Malaysia berkata pendedahan peningkatan jumlah penagih sebanyak 31.6% atau 169,691 dari Januari hingga September tahun lalu oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) disifatkan membimbangkan.

Menurutnya, langkah menambah pegawai dari bidang kerja sosial boleh membantu proses pemulihan sekali gus mengelakkan ketagihan termasuk terhadap penggunaan dadah sintetik.
“Proses ini sepanjang hayat dan mereka tidak boleh di hospital sebaliknya di pusat pemulihan, lebih-lebih lagi dadah sintetik lebih bahaya yang memerlukan perhatian khas.
“Ini kerana kesannya terus ke mental atau otak, bukan sahaja perlu ubat tetapi rawatan psikososial oleh pekerja sosial dan kaunselor,” kata pensyarah kanan program kerja sosial Pusat Pengajian Psikologi Gunaan Dasar dan Kerja Sosial UUM itu kepada FMT.
Rabu lalu, Ketua Pengarah AADK Ruslin Jusoh mendedahkan peningkatan jumlah penagih dadah direkod sembilan bulan tahun lalu itu berpunca pengambilan dadah sintetik, memandangkan bahan itu lebih mudah didapati.
Katanya, belia berusia 19 hingga 39 tahun paling tinggi dikesan dalam penyalahgunaan dadah yang membabitkan seramai 98,977 atau 58.3%.
Nurhazlina turut mencadangkan kerajaan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dalam merangka program rawatan mengikut jenis dadah diambil.
“Program pemulihan perlu lebih bersifat inklusif, jadi tak boleh satu rawatan merangkumi semua jenis dadah,” katanya sambil menambah peruntukan perlu diberikan kepada pusat pemulihan mengikut keperluan semasa.
Sementara itu, Mohd Alif Jasni dari UUM pula mencadangkan AADK mengambil sekolah angkat di setiap daerah dalam usaha menjalankan pencegahan dadah secara proaktif.
“Ini dapat memupuk kesedaran awal kerana sekolah menjadi tempat remaja berada, ia menjadi fasa kritikal dalam pembentukan nilai dan jati diri mereka.
“Sekolah angkat juga berikan peluang untuk AADK mengesan tanda-tanda awal penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar,” katanya.