Polis kesan dokumen palsu petik KPN, berlogo Badan Peguam

Polis kesan dokumen palsu petik KPN, berlogo Badan Peguam

JSJK Bukit Aman berkata kandungan dokumen palsu itu dakwa penerimanya terlibat prosiding undang-undang berkaitan pemilikan imej pornografi budak.

Ramli Mohamed Yoosuf
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata tiada dokumen amaran seumpama itu dikeluarkan mana-mana agensi kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis mengesan sindiket penipuan bagi tujuan penipuan dan pemerasan menggunakan dokumen amaran palsu lengkap jata negara, logo Badan Peguam, dan nama hampir menyerupai ketua polis negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata dokumen berkenaan bertajuk ‘Kebenaran’ kononnya dikeluarkan oleh ‘Pejabat Pusat Memerangi Jenayah Berkaitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi’.

“Kandungan dokumen palsu itu mendakwa penerimanya terlibat dalam prosiding undang-undang berkaitan pemilikan imej pornografi kanak-kanak.

“Malah, penerima diminta menghubungi pihak yang dikatakan mengeluarkan dokumen tersebut dengan segera atau menghadapi risiko waran tangkap,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Ramli menegaskan, tiada dokumen seumpama itu dikeluarkan mana-mana agensi kerajaan.

“Polis percaya dokumen itu sengaja dicipta untuk menimbulkan ketakutan kepada penerima sebelum menjadikan mereka mangsa penipuan atau pemerasan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

“Polis menyarankan orang ramai agar tidak melayan dokumen seumpama itu sama ada diterima secara fizikal, emel, WhatsApp atau melalui platform lain kerana ia adalah palsu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.