Malaysia bincang dengan Jepun segerakan pembangunan Gaza

Malaysia bincang dengan Jepun segerakan pembangunan Gaza

Inisiatif Jepun untuk membantu pemulihan Gaza dibincangkan semasa lawatan Perdana Menteri Shigeru Ishiba ke Malaysia awal bulan ini.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menghubungi rakan sejawatan dari Jepun hari ini berhubung pembangunan semula Gaza. (Gambar Bernama)
LONDON:
Malaysia akan bekerjasama dengan Jepun bagi menyegerakan pembangunan semula Gaza berikutan gencatan senjata.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menghubungi rakan sejawatan, Shigeru Ishiba, hari ini untuk membincangkan perkembangan mutakhir itu.

“Ada cadangan daripada Ishiba iaitu untuk pembangunan semula Gaza yang harus disegerakan kerana pendamaian yang telah dicapai ini,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada acara Invest Malaysia.

Anwar berkata Ishiba meminta Malaysia menjadi pengerusi bersama bagi inisiatif Jepun menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai ini, khususnya berkaitan pembangunan semula Gaza.

“Kita akan mencari dana dan kaedah untuk membantu segera. Jadi saya akan hubungi Ishiba hari ini juga untuk menyatakan bahawa jawatankuasa itu harus segera bertemu untuk mencari jalan dan kaedah membantu Gaza,” katanya.

Inisiatif Jepun untuk membantu pemulihan Gaza itu dibincangkan semasa lawatan Ishiba ke Malaysia awal bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.