KPDN giat penguatkuasaan sebelum perkenal mekanisme pembelian minyak masak peket

KPDN giat penguatkuasaan sebelum perkenal mekanisme pembelian minyak masak peket

Menteri Armizan Mohd Ali berkata pihaknya bekerjasama dengan sektor peruncitan bagi memperkenalkan mekanisme beli minyak masak peket bersubsidi.

rampas minyak
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) giat melancarkan penguatkuasaan untuk kekang ketirisan minyak masak peket bersubsidi. (Gambar KPDN)
SHAH ALAM:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan minyak masak peket bersubsidi, sebelum mekanisme kaedah pembeliannya diperkenal.

Menteri Armizan Mohd Ali berkata ketika ini pihaknya sedang bekerjasama dengan sektor peruncitan, pihak yang berurusan secara langsung dengan pengguna termasuk warga asing.

“Sekarang, sebelum kita keluarkan arahan itu secara menyeluruh (mekanisme pembelian), kita perlu melihat dalam konteks penguatkuasaan, kerjasama daripada sektor peruncitan yang berada di lapangan yang berurusan dengan warga asing.

“Apakah mekanisme yang perlu kita selesaikan,” katanya selepas merasmikan majlis penutup program usahawan muda peringkat kebangsaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

armizan
Armizan Mohd Ali ketika ditemui pemberita selepas majlis penutup program usahawan muda peringkat kebangsaan di Shah Alam.

Beliau mengulas gesaan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) supaya kerajaan memperkenalkan segera mekanisme penyaluran subsidi minyak masak peket termasuk kaedah pembelian untuk golongan sasar bagi mengelakkan ketirisan.

Kerajaan sebelum ini pernah mempertimbangkan penyediaan sistem kad pengenalan khas bagi pembelian barang bersubsidi itu selain ada cadangan supaya ia dimansuhkan dan digantikan bantuan kewangan.

Mengulas lanjut, Armizan berkata dengan langkah penguatkuasaan yang semakin agresif, kementeriannya komited isu ketirisan barangan bersubsidi dapat dikurangkan.

“Tahun ini, kita akan bertindak lebih agresif,” katanya.

Mengulas cadangan KPDN dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji keperluan menaikkan jumlah denda bagi penyalahgunaan logo halal, Armizan berkata pihaknya terbuka sebarang pandangan yang konstruktif.

Beliau berkata berdasarkan undang-undang sedia ada di bawah Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, tindakan menyalahgunakan label logo halal, boleh didenda RM1 juta bagi individu dan RM5 juta bagi syarikat, yang disifatkan sudah tinggi.

Bagi kesalahan berulang, denda tidak lebih RM10 juta.

“Undang-undang yang ada kita tengok sudah tinggi yang kita harap boleh jadi pencegahan, namun KPDN komited untuk kerjasma dengan Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri, sebarang syor yang konstuktif kita terbuka untuk pertimbangkan,” katanya.

Cadangan menaikkan denda itu disuarakan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Jamali Mohd Adnan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.