
Dzulkefly berkata sebanyak 215 murid Tahun 1 di Putrajaya mengalami masalah ketajaman penglihatan pada tahun lepas, dan 239 orang pada 2023.
Kementerian Kesihatan (KKM) memantau masalah tersebut melalui pemeriksaan pasukan kesihatan sekolah, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan kaca mata bagi program pemeriksaan refraksi dan penajaan pembetulan ketajaman penglihatan kepada murid Tahun 1 kategori B40 dan M40. Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Dzulkefly berkata lazimnya guru akan suruh murid yang menghadapi masalah ketajaman penglihatan untuk duduk di hadapan, namun langkah itu bersifat sementara.
“Langkah yang sebenarnya adalah usaha untuk disaring atau dibuat saringan kesilapan refraksi. Kita mahu capai ambang pengesanan sekurang-kurangnya 5% tetapi kita hanya capai 3.4% hingga 3.5%,” katanya.
Beliau berkata pengesanan awal perlu dilakukan khususnya dalam kalangan murid Tahun 1 agar mereka yang mengalami masalah itu tidak terus tergendala dalam pembelajaran dan terpaksa memakai cermin mata kanta tebal.
Projek rintis pengesahan masalah ketajaman penglihatan dan pemberian kaca mata percuma kepada murid daripada kategori B40 dan M40 bermula sejak Ogos 2024, dan mengambil masa selama setahun di 16 buah sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya.
Sementara itu, Fadhlina berkata projek itu akan diperluaskan agar keciciran pembelajaran ditangani dan penumpuan murid dalam kelas lebih baik. “Selepas Putrajaya… Nibong Tebal dan mungkin lepas ini Kuala Selangor,” katanya.
Beliau berkata selain inisiatif kaca mata, KPM dan KKM berkerjasama menangani isu malnutrisi dalam kalangan murid.
Dalam majlis itu, Fadhlina menyerahkan cek cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang memanfaatkan 39,000 murid di Putrajaya berjumlah RM5.89 juta.