Gencatan senjata: Hamas puji solidariti Malaysia bersama Palestin

Gencatan senjata: Hamas puji solidariti Malaysia bersama Palestin

Ia susulan pengumuman gencatan senjata di Semenanjung Gaza selama 42 hari yang dijadualkan bermula Ahad ini.

Ahli biro politik Hamas Khalil al-Hayya mengiktiraf sumbangan Malaysia dalam memberikan sokongan penting pada saat sukar. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Ahli biro politik Hamas, Khalil al-Hayya memuji “pendirian terhormat” Malaysia bersama negara lain menyokong Palestin dalam konflik berterusan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Bercakap pada sidang media, al-Hayya berterima kasih kepada Malaysia, Turki, Afrika Selatan, Algeria, Rusia, China dan Indonesia atas solidariti mereka terhadap rakyat Palestin, sambil mengiktiraf sumbangan mereka dalam memberikan sokongan penting pada saat sukar.

Kenyataannya menyusul pengumuman perjanjian gencatan senjata diketuai Qatar sebagai perantara yang dijadualkan berkuat kuasa Ahad ini.

Al-Hayya mengalu-alukan perjanjian itu sebagai perkembangan positif, tetapi mengkritik “keganasan dan pencerobohan” oleh pendudukan Israel serta menyifatkannya antara krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden.

“Pada saat kritikal ini, kami menyampaikan kata-kata kebanggaan dan penghormatan kepada rakyat kami di Gaza,” katanya sambil menambah rakyat Palestin “tidak akan melupakan mereka yang menyumbang kepada penderitaan mereka”.

Gencatan senjata yang diumumkan Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman akan berlangsung selama 42 hari bagi fasa pertama. Di bawah perjanjian itu, 33 tahanan Israel akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan jumlah tahanan Palestin tidak dinyatakan, lapor AA.

Perjanjian itu yang difasilitasi Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat, termasuk mekanisme untuk memastikan pematuhan dan menangani sebarang kemungkinan pelanggaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.