AGC teruskan permohonan larangan bersuara ke atas adendum

AGC teruskan permohonan larangan bersuara ke atas adendum

Timbalan Ketua Bahagian Sivil Jabatan Peguam Negara Shamsul Bolhassan berkata permohonan akan diteruskan sehingga ada arahan sebaliknya.

agc
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Jemaah Menteri tidak pernah mengarahkan AGC memfailkan permohonan perintah larangan bersuara berkaitan titah adendum.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneruskan permohonan mendapatkan perintah mahkamah untuk mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) menghalang orang ramai membincangkan titah adendum bekas perdana menteri Najib Razak.

Berita Harian memetik Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC Shamsul Bolhassan berkata permohonan akan diteruskan sehingga ada arahan sebaliknya.

Pada 13 Jan lalu, peguam kanan persekutuan itu dilaporkan berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan perintah larangan bersuara terbabit pada 20 Jan ini bagi melindungi institusi diraja memandangkan perkara berkenaan menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).

Semalam,jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri tidak pernah mengarahkan AGC memfailkan permohonan itu.

Fahmi berkata ia juga tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof semalam.

Pada 6 Jan lalu, Najib mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab atau mengesahkan kewujudan titah adendum Januari 2024.

Titah adendum itu dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan itu dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Azhahari Kamal Ramli dan Mohd Firuz Jaffril, dengan Azizah Nawawi membuat keputusan berbeza.

Justeru, mahkamah memerintahkan kes semakan kehakiman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.