Terengganu perlu lebih RM2.4 bilion atasi hakisan pantai

Terengganu perlu lebih RM2.4 bilion atasi hakisan pantai

Exco negeri Hanafiah Mat berkata jumlah itu anggaran kasar yang mengambil kira kos pembinaan menelan belanja RM5 juta hingga RM10 juta untuk 1km.

Keadaan jalan di Kampung Tanjung, Batu Rakit yang rosak teruk akibat hakisan pantai selepas dibadai ombak besar baru-baru ini. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Terengganu memerlukan lebih RM2.4 bilion bagi membina benteng pemecah ombak di 34 lokasi pantai untuk mengatasi masalah hakisan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) negeri, Hanafiah Mat, berkata jumlah itu anggaran kasar dengan mengambil kira kos pembinaan yang menelan belanja RM5 juta hingga RM10 juta untuk 1km.

Bagaimanapun, beliau berkata, kajian lanjut perlu dibuat bagi mendapatkan perbelanjaan sebenar kerana kos pembinaan bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk reka bentuk benteng, tahap hakisan dan bahan mentah.

“Kita memerlukan lebih RM2.4 bilion untuk melindungi kawasan pantai sepanjang 244km yang berisiko hakisan, terutama pada musim monsun timur laut.

“Kos bergantung kepada beberapa faktor sama ada benteng konkrit, tetrapod atau gabion. Tahap hakisan juga menentukan perbelanjaan dengan lokasi terjejas teruk menelan kos lebih tinggi kerana memerlukan struktur lebih kukuh,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, pihaknya mengharapkan kerajaan pusat dapat meluluskan segera peruntukan tambahan bagi menangani masalah hakisan pantai semakin teruk, terutama di Kuala Nerus.

Katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya telah mengemukakan permohonan RM600,000 untuk kerja baik pulih jalan dan pencegahan hakisan jangka pendek di Kampung Tanjung Batu Rakit, Kuala Nerus bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

“Kerja-kerja ini dijangka dimulakan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, tertakluk kelulusan Marris dan keadaan ombak.

“Kaedah penyelesaian dicadangkan adalah membina struktur ‘rock revetment’ sepanjang 400m dengan lebar 1.5m dari bahu jalan sebagai pelindung pantai daripada hakisan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.