Sungai ‘sirap bandung’: Luas selaras tindakan tutup segera paip disyaki punca

Sungai ‘sirap bandung’: Luas selaras tindakan tutup segera paip disyaki punca

Tindakan segera diselaras bersama PBT bagi mengurangkan risiko kepada Sungai Kabul, Sungai Beranang dan seterusnya Sungai Semenyih, menurut Luas.

sungai kabul pink
Pihak Luas semalam mengesan terdapat aliran tercemar yang menyebabkan Sungai Kabul di Beranang bertukar warna merah jambu dianggarkan kira-kira 500m. (Gambar LUAS)
PETALING JAYA:
Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bersama pihak berkuasa tempatan telah menyelaraskan tindakan untuk segera menutup paip yang dipercayai menjadi punca Sungai Kabul di Beranang bertukar warna merah jambu sejak semalam.

Luas berkata, pemerhatian susulan di lokasi sekitar Kawasan Perindustrian Mahkota, Beranang, hari ini telah menemukan aliran air berwarna merah jambu keluar daripada satu paip yang disyaki dibina tanpa kebenaran.

“Luas telah menyelaraskan tindakan bersama pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk penutupan segera paip tersebut yang belum dikenalpasti punca alirannya bagi mengurangkan risiko kepada Sungai Kabul, Sungai Beranang dan seterusnya Sungai Semenyih,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Luas memaklumkan pihaknya juga meningkatkan pemantauan di lokasi-lokasi berkaitan di hulu Sungai Kabul.

“Keadaan semasa Sungai Beranang dan Sungai Semenyih adalah terkawal dan pasukan Luas serta agensi-agensi terlibat sedang giat melaksanakan semakan dan pemantauan rapi di tapak,” katanya.

Dilaporkan sebelum ini, ketika rondaan dan pemantauan rutin pasukan Luas di lembangan Sungai Langat semalam, pihak Luas mengesan terdapat aliran air berwarna merah jambu di Sungai Kabul sepanjang anggaran 500m.

Dengan itu, Luas telah mengaktifkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan dan mitigasi segera kerana dikhuatiri akan turut menjejaskan loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih.

Menurut Luas, sumber aliran tercemar itu disyaki berpunca daripada sebuah premis kilang di kawasan perindustrian Beranang dan pihaknya segera mengarahkan premis berkenaan menghentikan dan menutup pelepasan serta-merta.

Luas memaklumkan hari ini bahawa kerja-kerja pembersihan oleh premis berkenaan di dalam kawasannya telah selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.