Situasi banjir di Pahang pulih, Johor semakin baik

Situasi banjir di Pahang pulih, Johor semakin baik

Satu-satunya PPS di Pahang ditutup tengah hari tadi manakala mangsa di Johor menunjukkan penurunan.

pps banjir
Keadaan banjir di Pahang dilaporkan pulih sepenuhnya manakala mangsa di Johor menurun kepada 230 orang berbanding 1,097 orang pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Situasi banjir di Pahang pulih sepenuhnya manakala di Johor menunjukkan perkembangan positif selepas mencatatkan penurunan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini.

Di Pahang, satu-satunya PPS iaitu di Balai Raya Kampung Jawa, Rompin yang menempatkan 186 mangsa daripada 43 keluarga ditutup 12 tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Rompin memaklumkan kesemua penduduk Kampung Pantai 3 dan 4 serta Kampung Jawa yang terjejas sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di Johor, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS berkurang kepada 230 orang hingga 4 petang ini berbanding 1,097 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Azmi Rohani dalam kenyataan, memaklumkan tiga PPS masih beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pontian; Dewan Serbaguna Kahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kahang, Kluang.

Sementara itu di Perak, jumlah mangsa banjir kekal 31 orang melibatkan sembilan keluarga dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi dan Kampung Pengkalan Damar, Manjung, yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di sini, setakat 4 petang tadi.

Begitu juga di Sarawak, masih kekal dengan 20 mangsa banjir melibatkan 13 keluarga yang berlindung di PPS Dewan Kompleks Sukan Kanowit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.