Saya bertemu Jho Low atas kerja sebelum masuk 1MDB, kata Arul Kanda

Saya bertemu Jho Low atas kerja sebelum masuk 1MDB, kata Arul Kanda

Arul Kanda Kandasamy berkata, beliau bertemu ahli perniagaan dalam buruan itu ketika bekerja dengan sebuah bank di Abu Dhabi.

arul kanda kandasamy
Arul Kanda Kandasamy dilantik sebagai pengarah 1MDB pada Januari 2015, kemudian sebagai CEO dan presiden kumpulan pada tahun seterusnya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Arul Kanda Kandasamy memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia bertemu dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, sebelum menyertai 1MDB pada 2015.

Menerusi keterangan pembelaannya dalam saman sivil 1MDB, Arul Kanda berkata, dia juga bertemu Pengerusi Aabar Investments Khadem Al Qubaisi dan CEO Mohammed Badawy al Hussein lebih kurang dalam tempoh sama.

Pada masa itu, katanya, dia bekerja dengan sebuah bank di Abu Dhabi.

Ketiga-tiga mereka, bersama bekas perdana menteri Najib Razak dan anak tirinya, Riza Aziz, didakwa menyeleweng dana 1MDB menerusi beberapa entiti luar pesisir yang palsu.

Media melaporkan bahawa Khadem and Badaway telah disabitkan bersalah dan dipenjarakan pada 2019 atas jenayah kewangan tidak berkait 1MDB.

Ketika diperiksa balas peguam Lim Chee Wee, yang mewakili 1MDB, Arul Kanda berkata, dia bertemu Low beberapa kali ketika bekerja di bank tersebut.

Lim: Ada (Low) kemukakan sebarang cadangan?

Arul Kanda: Ada, tentang pelaburan Pulau Al Maryah, sebuah daerah kewangan di Abu Dhabi.

Lim: Ada kamu berjumpa Khadeem dan Mohammed (Badawy)?

Arul Kanda: Ya, ketika bekerja dengan (bank) ADCB di Abu Dhabi.

Arul Kanda sebelum ini berkata, dia pernah bekerja sebagai pengurus pelaburan di bank di London, kemudian di Timur Tengah, khusus dalam penstrukturan semula kewangan bagi syarikat-syarikat yang banyak berhutang.

Katanya, bekas pengarah 1MDB Ashvin Valiram kerap datang ke Dubai kerana isterinya berasal dari sana.

“Dalam 2014, beliau mahu saya bekerja dengan syarikatnya. Saya kemudian mengkaji 1MDB dan mendapati terdapat banyak laporan negatif,” kata Arul Kanda.

Arul Kanda berkata, Ashvin tidak menjelaskan status kewangan 1MDB dengan terperinci, kecuali bahawa syarikat itu mempunyai hutang-hutang besar.

Katanya, dia kemudiannya ditemuduga oleh tiga bekas pegawai 1MDB, iaitu pengerusi Lodin Wok Kamaruddin, pengarah Ismee Ismail dan CEO Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

“Dua daripada temu duga itu secara berdepan, manakala dengan Shahrol, menerusi telefon,” tambahnya.

Arul Kanda dilantik sebagai pengarah 1MDB pada Januari 2015 kemudian sebagai CEO dan presiden kumpulan pada tahun seterusnya.

Pada Mei 2021, 1MDB menyaman Arul Kanda dan bekas pengerusi 1MDB Irwan Siregar Abdullah atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi yang menyebabkan kerugian dikatakan sebanyak USD1.83 bilion, dikaitkan dengan pelaburan syarikat itu dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd.

Dana tersebut dikatakan ditukar menjadi pelaburan dalam Brazen Sky Ltd, dan didakwa boleh diperoleh semula melalui Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Irwan menggelapkan dana syarikat sebanyak USD3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan USD1.265 bilion lagi dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.

Selain itu, 1MDB menuduh Irwan bersubahat dengan Arul Kanda untuk melanjutkan perjanjian pekerjaannya, membayar sejumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda tanpa mengambil kira kepentingan syarikat, sehingga menyebabkan kerugian dan kerosakan.

Syarikat itu menuntut ganti rugi USD6.59 bilion daripada Arul Kanda dan Irwan, serta tambahan RM2.9 juta daripada Irwan berkait lanjutan perjanjian pekerjaan Arul Kanda.

Irwan berkata, peranannya sebagai CEO adalah untuk melaksanakan pelan rasionalisasi bertujuan memulihkan syarikat itu, melunaskan hutang sedia adanya dan menggerakkan semula projek tertangguh, termasuk Bandar Malaysia dan TRX Development.

Irwan yang dilantik sebagai pengerusi oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada Mei 2016 berkata, beliau dilantik khususnya untuk mengemudi 1MDB melalui pelan rasionalisasi tersebut.

Peguam Sanjay Mohan dan Adam Lee mewakili Arul Kanda, manakala Irwan diwakili Lavinia Kumaraendran dan Mavin Thillainathan.

Kes akan terus didengar di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.