Pesara komander TLDM didakwa 89 tuduhan tipu lebih RM1 juta

Pesara komander TLDM didakwa 89 tuduhan tipu lebih RM1 juta

Tertuduh Haizad Ismail bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan.

mahkamah sesyen majistret johor bahru
Haizad Ismail, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas 89 pertuduhan menipu membabitkan pelbagai kerja perolehan di Kem Diraja Sultan Ismail berjumlah lebih RM1.07 juta. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pesara komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas 89 pertuduhan menipu membabitkan pelbagai kerja perolehan di Kem Diraja Sultan Ismail berjumlah lebih RM1.07 juta, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Haizad Ismail, 43, mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan selepas dibacakan dua jurubahasa mahkamah selama dua jam 30 minit di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail, menurut Harian Metro.

Mengikut 89 kertas pertuduhan, dia didakwa menipu Kapten TLDM Shaiful Fadzli Ismail, 50, sebagai Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail untuk mempercayai bahawa pelbagai kerja perolehan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera, KD Sultan Ismail selesai dilaksanakan.

Perbuatan itu didakwa mendorong Shaiful Fadzli memperakukan pembayaran keseluruhannya berjumlah RM1,070,100 kepada 10 syarikat.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan ketika tertuduh bertugas sebagai Ketua Bahagian Logistik dan Material di KD Sultan Ismail Tanjung Pengelih.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat bahagian itu di Kota Tinggi pada 29 Nov 2023 dan 23 Okt 2023.

Bagi semua pertuduhan itu, dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM180,000 bagi semua pertuduhan dihadapi tertuduh.

Peguam Nur’ain Shahiera Khalid yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang lebih rendah.

Beliau memberi alasan bahawa anak guamnya mempunyai lima anak berusia antara tujuh hingga 17 tahun yang semuanya masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM39,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.