
PETALING JAYA: Seorang pekerja kontrak maut direnjat elektrik di Jalan Bambangan, Membakut semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis, Mohd Johainin Ruslan, berkata pihaknya menghantar lima anggota bersama sebuah jentera selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.20 petang Selasa.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati seorang lelaki terkena renjatan elektrik dan menurut rakannya, mangsa terkena renjatan ketika menjalankan memasang talian internet berhampiran kabel elektrik,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa berusia 19 tahun dihantar ke hospital oleh rakan sekerjanya sebelum pasukan bomba tiba dan disahkan meninggal dunia di hospital oleh doktor bertugas.