P Pinang mesti had penggunaan kereta sekarang, kata pakar

P Pinang mesti had penggunaan kereta sekarang, kata pakar

Anil Netto dan Wan Agyl Wan Hassan menggesa pengenalan mekanisme caj kesesakan serta laluan bas untuk meredakan kesesakan di George Town.

Kadar pemilikan kereta di Pulau Pinang antara tertinggi dalam negara ini. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Pulau Pinang tidak mampu menangguhkan sekatan terhadap penggunaan kereta sehingga sistem Transit Aliran Ringan (LRT) sedia digunakan, memandangkan kadar pemilikan kereta yang tinggi di negeri itu, menurut pakar.

Anil Netto dan Wan Agyl Wan Hassan berkata, menangguhkan pelaksanaan sekatan itu sehingga LRT beroperasi hanya akan memburukkan lagi keadaan lalu lintas di pulau berkenaan.

Mereka mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa penyelarasan penggunaan kereta hanya boleh dilakukan selepas LRT Pulau Pinang yang disasarkan siap pada 2031, sudah beroperasi.

Netto, ahli Penang Forum, mendapati masalah kesesakan teruk di Kuala Lumpur berterusan, walaupun ada pilihan beberapa transit massa lain.

“Satu landasan LRT tidak akan membawa banyak perubahan kepada aliran trafik. Lihat saja Kuala Lumpur. Walaupun ada pelbagai laluan rel, lalu lintas tetap sesak, khususnya di mana stesen jauh dari kawasan perumahan. Kita perlu menggalakkan lebih ramai orang menggunakan bas,” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa pelaburan diperbaharui ke arah perkhidmatan bas dan feri bagi menangani pergerakan besar-besaran orang ramai.

Beliau turut mengeluh ketiadaan hab pengangkutan efisien seperti pernah dilihat di Butterworth, apabila perkhidmatan feri, bas dan kereta api bertemu di satu terminal. Hab itu kini digantikan Penang Sentral.

Pakar pengangkutan, Wan Agyl menyifatkan cadangan Chow sebagai “pemikiran salah dan lapuk” kerana Pulau Pinang mesti bertindak sekarang dengan mengutamakan penggunaan bas.

Menurutnya, jumlah kereta memasuki George Town boleh dikurangkan dengan memperkenalkan mekanisme caj kesesakan serta mewujudkan laluan khas untuk bas.

Beliau berkata, Pulau Pinang perlu menggunakan pendekatan tegas bagi memaksa penduduk meninggalkan kenderaan mereka di rumah, manakala kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mesti menunjukkan kesediaan untuk melaksanakan dasar seumpama itu.

“Isunya bukan tunggu LRT (siap), kita perlu bermula sekarang dengan apa yang sudah ada. Paling mudah adalah penggunaan bas. Laluan khas dan jadual boleh dipercayai mampu memastikan bas berfungsi seperti perkhidmatan rel.”

Pada majlis pecah tanah Laluan Mutiara Pulau Pinang bernilai RM13 bilion Sabtu lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, walaupun infrastruktur moden penting, ia tidak patut mengakibatkan identiti kebudayaan negeri terkorban.

Katanya, sistem LRT itu mesti menggambar dan mengekalkan warisan serta “vibrant arts scene” Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.