
Bekas perdana menteri itu memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes 1MDB, adalah ‘tidak masuk akal’ bagi kerajaan China dan syarikat milik negara itu untuk campur tangan dalam masalah kewangan 1MDB dan SRC.
Katanya, langkah sebegitu mendedahkan China kepada ‘kecaman antarabangsa’.
“”Hantar Amhari hanya untuk meninjau kemungkinan projek infrastruktur di Malaysia, saya hendak dapatkan gambaran dulu (daripada kerajaan China), iaitu melalui tinjauan.
“Beliau (Amhari) seorang yang bijak, saya tidak fikir beliau tidak boleh laksanakan tugas itu,” katanya, sambil menambah bahawa ketika itu Amhari memegang jawatan sebagai pengarah ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudian bertanya sama ada Wisma Putra terlibat dalam lawatan Amhari ke China.
Najib berkata, Kementerian Luar dan agensi lain akan dilibatkan kemudian sekiranya China menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia.
Akram: Adakah Amhari fasih berbahasa Mandarin?
Najib: Mereka (pegawai China) mempunyai ramai jurubahasa. Ramai daripada mereka juga boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.
Akram: (Ahli perniagaan dalam buruan) Jho Low (Taek Jho) turut serta dengan Amhari. Adakah anda bersetuju bahawa Jho Low juga mengambil bahagian dalam perbincangan itu, dan bukan sekadar menguruskan logistik untuk Amhari?
Najib: Saya tidak bersetuju.
Amhari yang memberi keterangan pada 2019 memberitahu beliau ditugaskan ke China untuk menyelamatkan kedua-dua syarikat itu yang dibebani hutang.
Akram kemudian mencadangkan bahawa Jho Low menyediakan ‘butiran percakapan’ untuk digunakan Amhari semasa perbincangan dengan pegawai China.
Bagaimanapun, Najib berkata beliau tidak mengetahui apa yang dikatakan Amhari semasa mesyuarat itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.