
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, berkata insiden di premis kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM) minggu lalu itu mendukacitakan kerana berlaku kurang setahun kontroversi penjualan stokin.
Katanya, sebagai kedai rangkaian besar dan terkenal, KK Mart seharusnya mengambil pengajaran dan memperketatkan kawalan dalaman untuk menjaga sensitiviti pelanggan pelbagai latar belakang.
Pengarah komunikasi PKR itu berkata, kecuaian itu juga boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai peneraju industri halal menerusi kedudukan pertama untuk tahun ke-10 di State of the Global Islamic Economy (SGIE).

Menurutnya, sektor halal juga berpotensi menyumbang 8.1% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bersamaan RM137.6 bilion pada tahun ini dan 10.8% bersamaan RM260 bilion, lima tahun lagi.
“KK Mart harus segera menyemak semula mekanisme pembelian dalaman syarikat, termasuk menetapkan SOP pembelian dan mengumumkan keputusan ini kepada orang ramai.
“Sekadar mendakwa pembekal adalah tidak memadai, sebagai usahawan Malaysia, KK Mart harus menunjukkan teladan sebuah syarikat prihatin yang mempunyai tanggungjawab sosial,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, KK Mart memaklumkan sudah membekukan semua urusan perniagaan dengan pembekal produk ‘sandwich ham & cheese’ yang dijual di salah satu cawangannya di UM.
Rangkaian kedai serbaneka itu turut memaklumkan kemasukan produk daripada Shake and Bake Cafe ke semua cawangan kedai dihentikan.
UM baru-baru ini mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic diragui status halal.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mengesahkan ‘sandwich ham & cheese’ dijual di kedai serbaneka di UM tidak mempunyai sijil pengesahan halal, kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga telah menyerbu kilang Shake and Bake Cafe, Jumaat lalu.