Capai keseimbangan antara naik gaji, bendung inflasi

Capai keseimbangan antara naik gaji, bendung inflasi

Kerajaan berharap dapat menaikkan gaji tetapi mesti seiring peningkatan daya pengeluaran supaya tidak jejas kos sara hidup pengguna.

discuss
Untuk memastikan bakat dapat dikekalkan dalam negara, gaji mesti dinaikkan, namun ini juga boleh menyebabkan inflasi meningkat. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Setiap tahun, ribuan rakyat Malaysia berhijrah ke Singapura, United Kingdom atau Australia demi pekerjaan dengan gaji lebih tinggi.

TalentCorp, agensi ditubuhkan oleh kerajaan untuk menangani masalah penghijrahan cendekiawan (brain drain), menganggarkan sekurang-kurangnya 1.86 juta rakyat berpindah dalam tempoh 50 tahun lalu.

Ini bermakna, purata 37,200 orang, kebanyakannya berkelayakan dan berkemahiran tinggi, meninggalkan negara ini setiap tahun, bukti berlaku ketitisan besar dalam lubuk bakat tempatan.

Perkiraannya mudah – di Malaysia, purata gaji jururawat ialah kira-kira RM2,471 sebulan, namun di Singapura, mereka boleh memperoleh sehingga SGD3,300, untuk pekerjaan sama.

Mengikut nilai tukaran wang semasa, gaji jururawat di Singapura bersamaan RM10,908, iaitu 4.4 kali lebih tinggi berbanding gaji di Malaysia.

Bagi menangani masalah ini, kerajaan menggariskan pelbagai strategi bawah Belanjawan 2025.

Aturan baharu

Mulai Februari depan, gaji minimum dinaikkan daripada RM1,500 ketika ini kepada RM1,700 sebulan.

Angka ini bukan gaji permulaan tetapi jumlah minimum dimandatkan dari segi undang-undang yang mesti dibayar kepada pekerja – tidak termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman mandatori lain – selagi mereka bekerja di Malaysia.

Gaji RM1,700 sebulan mungkin tidak seberapa, tetapi bagi 600,000 rakyat Malaysia – kira-kira 10% daripada semua pekerja formal di negara ini – yang kini meraih pendapatan RM1,500 atau kurang, tambahan RM200 sebulan mampu membawa perbezaan.

Paling tidak, ia membantu mereka menampung kos sara hidup semakin tinggi akibat inflasi yang semakin meningkat.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 2022, iaitu daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan.

Rasional menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 adalah untuk memastikan isi rumah bukan sahaja mampu menampung keperluan dan kehendak mereka tetapi juga mempunyai baki wang mencukupi supaya mereka dapat melibatkan diri dalam kegiatan sebagai masyarakat Malaysia.

Di Malaysia, gaji kini menyumbang kira-kira 32% daripada KDNK negara, menurut Lee Hwok Aun, felo kanan Program Pengajian Malaysia Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura.

Ini bermakna, bagi setiap RM100 yang dijana dalam ekonomi, RM32 kembali kepada pekerja. Kerajaan berharap dapat meningkatkannya kepada 45% menjelang 2035.

Di Korea Selatan dan Jepun, kadarnya adalah kira-kira 50% pada 2023, menurut Lee dalam kertas kerjanya, ‘Malaysia’s Progressive Wage Policy: Looming Questions for the Pilot Project’.

Cabaran

Langkah menaikkan gaji membantu menambah baik kehidupan golongan berpendapatan rendah, tetapi ia juga menambah kos pengeluaran, dan tanpa peningkatan daya pengeluaran yang sepadan, harga meningkat seiring inflasi.

Daya pengeluaran lebih tinggi menjadikan perniagaan lebih menguntungkan, membolehkan mereka membayar kos yang lebih tinggi, seperti upah, tanpa menyalurkan kos tambahan kepada pengguna melalui kenaikan harga.

Dalam tempoh terdekat, kenaikan gaji akan terikat dengan daya pengeluaran bawah Dasar Gaji Progresif, memberi insentif kepada majikan supaya membayar gaji lebih tinggi untuk output lebih besar daripada pekerja.

Bawah Belanjawan 2025, RM200 juta diperuntukkan untuk membantu perniagaan membayar gaji lebih tinggi, memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pekerja di Malaysia.

Bagi meningkatkan daya pengeluaran dan seterusnya gaji, kerajaan memperuntukkan berbilion ringgit untuk menaik taraf teknologi dan meningkatkan kemahiran pekerja.

Sebagai contoh, Dana Transformasi Teknologi Perusahaan Kecil dan Sederhana bernilai RM400 juta akan membiayai kemajuan teknologi Malaysia.

Sebanyak RM7.5 bilion lagi yang diperuntukkan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) boleh membantu meningkatkan gaji permulaan kepada RM2,500 hingga RM4,000 yang ditetapkan oleh Majlis TVET Negara.

Malaysia juga sedang berusaha dengan agresif menarik pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) sebagai sebahagian langkah meningkatkan daya pengeluaran dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi.

Bagi tujuan ini, kerajaan menawarkan insentif cukai dan dana sepadan sehingga RM100 juta untuk membangunkan vendor tempatan dalam sektor HGHV seperti elektrik dan elektronik.

Ruang penambahbaikan

Pakar ekonomi pada umumnya mengalu-alukan rancangan itu tetapi mereka juga segera menarik perhatian kepada jurang-jurang yang wujud.

Sebagai contoh, dasar kerajaan memainkan peranan besar dalam menentukan gaji tetapi ia hanya jelas meliputi pekerja formal, menimbulkan tanda tanya besar mengenai nasib pekerja tidak formal dan pekerja gig.

Selain dasar kerajaan, majikan juga mesti bertanggungjawab manakala rakyat Malaysia secara amnya mesti menepis pelbagai tanggapan salah.

Malaysia telah menggesa Sistem Upah Berkaitan Produktiviti selama 25 tahun, tetapi walaupun daya pengeluaran pekerja meningkat dalam sektor tertentu, gaji tidak naik seiringnya.

Menurut laporan Bank Negara Malaysia pada 2018, pekerja biasa di Malaysia dibayar bersamaan USD340 berbanding USD510.80 di negara lain.

Khazanah Nasional baru-baru ini dipuji kerana menawarkan gaji minimum RM3,000, tetapi ia bukan amalan lazim dalam kalangan syarikat dalam negara.

Rakyat Malaysia secara amnya juga tersilap menganggap pekerjaan tertentu, seperti bagi graduan TVET, sebagai hanya untuk pekerja berkemahiran rendah dan kurang kecenderungan akademik.

Mereka gagal melihat kemahiran teknikal dan penyelesaian masalah diasah menerusi kursus TVET dan hingga 94.5% daripada kumpulan graduan ini mendapat pekerjaan dengan mudah pada 2023.

Ini menawarkan belia daripada komuniti berpendapatan rendah dan mereka yang berkeperluan khas peluang memperoleh gaji lebih tinggi serta mobiliti sosioekonomi.

‘Bom jangka’

Kira-kira separuh populasi Malaysia yang bekerja secara formal kini memperoleh gaji sebanyak RM2,745 atau kurang.

Jumlah ini termasuk 600,000 yang berpendapatan bawah RM1,500 sebulan.

Malaysia mesti menaikkan gaji untuk mendorong kemajuan sosial tetapi seiring itu, daya pengeluaran juga mesti meningkat untuk mengekalkan daya saing ekonomi.

Jika tidak, negara akan kehilangan lebih ramai bakat, membawa kepada daya pengeluaran lebih rendah dan pertumbuhan ekonomi terbantut yang akan mengakibatkan krisis kos sara hidup lebih besar.

Taruhannya besar, untuk kerajaan, perniagaan dan rakyat.

Mampukah rancangan bawah Belanjawan 2025 membuahkan hasil diinginkan?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.