
Menurut Kesuma, Dasar Latihan Amali 1:3 itu disasarkan memberi manfaat kepada 100,000 pelajar tempatan daripada institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Katanya, inisiatif itu akan ‘memberi peluang kepada bakat tempatan menjalani latihan amali berstruktur bagi mempersiapkan mereka untuk memenuhi keperluan industri dan sedia masa hadapan’.
Dasar itu dijangka dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan fasa rintis dari 15 Feb hingga 31 Dis, dan akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Jan 2026.
Bawah dasar ini, syarikat akan menikmati insentif cukai melalui Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP), dan pada masa sama membantu melatih bakat tempatan untuk menghadapi pasaran kerja yang kompetitif.
Menurut Kesuma, bagi setiap kelulusan Pas Penggajian Ekspatriat (EP) melalui Pusat Perkhidmatan Ekspatriat Malaysia (MYXpats) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), syarikat dikehendaki menyediakan sehingga tiga penempatan latihan industri berbayar dan berstruktur kepada pelajar tempatan.
“Penyesuaian nisbah ini turut mengambil kira saiz organisasi dan jumlah tenaga kerja dalam sesebuah syarikat yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.
Kementerian juga menambah, dasar itu hanya akan dilaksanakan selepas kelulusan EP diberikan dan tidak akan menjejaskan proses kelulusan pengambilan kakitangan ekspatriat semasa.
Katanya, syarikat yang memenuhi keperluan ini akan diberi keutamaan dalam kelulusan pada masa akan datang.
Syarat penempatan latihan amali ini adalah berdasarkan kategori EP – bagi setiap kelulusan EPI, syarikat mesti menyediakan tiga tempat latihan; dua tempat bagi EPII; dan satu tempat bagi EPIII.
Jika penempatan latihan melebihi 2% daripada jumlah tenaga kerja, kadar penempatan latihan amali minimum akan ditetapkan secara automatik pada 2% tenaga kerja syarikat.
Kesuma berkata, pada fasa rintis, dasar itu hanya terpakai bagi syarikat yang ingin mendapatkan kelulusan untuk kategori EPI dan EPII.
Kementerian memberi jaminan bahawa dasar baharu itu tidak akan melibatkan sebarang kos tambahan dan akan disokong oleh ekosistem Insentif Latihan Amali, termasuk menerusi MySIP dan Skim Latihan Industri HRD Corp.