
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, mangsa berusia 61 tahun itu tertarik dengan iklan di Facebook itu lalu menelefon suspek, yang kemudian menghantar satu pautan laman sesawang kepada mangsa untuk tujuan pelaburan.
“Selepas itu, mangsa membuat 15 kali pindahan wang dalam talian berjumlah RM1,630,000 ke dalam enam akaun bank yang berbeza bagi tujuan membeli mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditukarkan kepada mata wang kripto.
“Pengadu tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan setelah membuat pemindahan wang secara berperingkat bermula 18 Okt hingga 31 Dis 2024, sebelum membuat laporan polis di Ampang Jaya semalam,” katanya, lapor Bernama.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Hussein berkata, seorang pesara syarikat swasta turut rugi RM997,105.50 setelah diperdaya oleh sindiket penipuan telefon (phone scam) yang memaklumkan bahawa mangsa mempunyai kesalahan jenayah.
Beliau berkata, mangsa berusia 62 tahun itu diperdaya kononnya dia menyalahgunakan produk penjagaan kulit, mempunyai waran tangkap berkaitan kes dadah serta terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Katanya, suspek kemudian meminta mangsa membuat pembayaran bagi mengelak waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
“… mangsa membuat dua kali pindahan wang secara dalam talian ke dua akaun bank berbeza,” katanya.
Selain itu, katanya, mangsa diminta memuat naik gambar bahagian depan dan belakang kad ATM miliknya. Susulan itu, mangsa mendapati wang dalam akaunnya berkurangan.
Hussein berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Selangor telah membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.