
Dia melepasi jangkaan hayat apabila mampu bertahan selama 26 tahun selepas menjalani pemindahan jantung daripada penderma.
Albert meninggal dunia semalam, pada usia 76 tahun, di Institut Jantung Negara (IJN) di mana perjalanan luar biasa untuk terus hidup dan advokasi pendermaan organnya bermula pada 1998.
Dia menjadi penerima pemindahan jantung kedua Malaysia pada Good Friday, 10 April, tahun itu.
Prosedur itu dapat dilaksanakan atas kemurnian hati seorang atlet berusia 22 tahun yang kehilangan nyawanya secara tragis dalam kemalangan motosikal di Ipoh, sekali gus memberi peluang kedua kepada Albert.
Dr Azmee Mohd Ghazi, pengarah Klinikal Kegagalan Jantung dan Pemindahan Jantung IJN, berkata kehidupan Albert adalah contoh cemerlang bagaimana satu kebaikan boleh berpanjangan, menyentuh banyak nyawa.
“Perjalanannya daripada putus asa kepada inspirasi adalah satu keberanian, rasa syukur dan dedikasi yang tidak jemu untuk mempromosikan pendermaan organ.
“Umurnya yang panjang menjadi harapan bagi pesakit yang menunggu untuk pemindahan dan bukti potensi luar biasa perubatan moden digabungkan dengan kemurahan hati penderma organ,” katanya.

Peluang kedua
Apabila doktor melakukan pemindahan jantungnya, mereka berharap prosedur itu akan memberinya tempoh untuk hidup beberapa tahun lagi.
Albert melawan arus apabila berjaya hidup selama 26 tahun dan sembilan bulan menerusi jantung yang diterima daripada pemuda yang mati otak itu.
Selepas membaca tentang pembedahan pemindahan jantung pertama di Malaysia pada 1997, penderma memberitahu ibunya bahawa jika apa-apa berlaku kepadanya, semua organnya harus didermakan.
Ibu membenarkan jantung anaknya dan organ lain dipindahkan untuk pemindahan. Dia menyelamatkan lapan nyawa.
Jenis darahnya ialah AB positif yang jarang ditemui dan Albert adalah satu-satunya penerima yang serasi dalam senarai menunggu untuk pemindahan jantung.
Sementara itu, anak perempuannya, Jacinta berkata bapanya sering menceritakan bagaimana pemindahan itu membolehkan dia menyaksikan peristiwa penting seperti hari lahir, tamat pengajian dan kegembiraan hidup setiap hari.
“Dia sentiasa berterima kasih atas hadiah luar biasa yang diberikan oleh pendermanya dan IJN kepadanya,” katanya.