Pahang, UAE jalin kerjasama pemuliharaan harimau Malaya

Pahang, UAE jalin kerjasama pemuliharaan harimau Malaya

Kerjasama pemuliharaan haiwan terancam dan melindungi habitatnya disokong geran RM99.8 juta daripada Dana Pemuliharaan Spesies Mohamed bin Zayed.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ketika majlis menandatangani kerjasama pemuliharaan harimau Malaya di Minggu Kelestarian Abu Dhabi.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan dari Pahang dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) membentuk kerjasama untuk memulihara harimau Malaya yang terancam dan melindungi habitat semula jadinya, dengan sokongan geran RM99.8 juta daripada Dana Pemuliharaan Spesies Mohamed bin Zayed (MBZIF).

Enggang Management Services dan MBZIF akan bersama menyelia pelaksanaan inisiatif itu di Rizab Diraja Harimau Al-Sultan Abdullah melalui pembentukan jawatankuasa pemantau geran yang bertujuan menangani ancaman seperti pemburu haram, kemusnahan habitat, dan penurunan populasi harimau.

Langkah utama akan diambil termasuk rondaan antipemburu haram, program pembiakan untuk spesies mangsa, dan penggunaan alat inovatif seperti kajian genetik serta penubuhan kemudahan penyelidikan di kawasan asal.

Usaha itu dijangka dapat menjamin sumber makanan yang lestari dan meningkatkan hasil pemuliharaan keseluruhan untuk harimau Malaya – yang kini hanya tinggal kurang 150 ekor di habitat liar.

Kerjasama ini diumumkan secara rasmi hari ini semasa Minggu Kelestarian Abu Dhabi, memberikan dorongan besar untuk pemuliharaan hutan dan hidupan liar di Malaysia.

Sementara itu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, menyatakan penghargaan atas kolaborasi dan menekankan kepentingan perkongsian antarabangsa dalam menangani cabaran pemuliharaan global.

“Kerjasama dengan UAE ini membolehkan kita lebih bercita-cita tinggi dalam usaha melindungi harimau Malaya dan spesies terancam lain.

“Ini membuktikan kuasa kerjasama dua hala dalam mencapai hasil yang bermakna untuk hidupan liar dan ekosistem,” katanya dalam kenyataan.

Tengku Hassanal sebelum ini sering bersuara dan memperjuangkan pemuliharaan populasi harimau Malaya.

Ogos lalu, baginda melancarkan buku komik dwibahasa ‘Oyen & Rimao’ bawah inisiatif ‘Selamatkan Harimau Malaya’ – yang bertujuan melindungi harimau Malaya dan habitatnya.

Pengarah Urusan MBZIF, Razan Al Mubarak, turut menegaskan kepentingan besar inisiatif itu, menyifatkannya sebagai tanggungjawab moral dan ‘pelaburan untuk masa depan planet kita’.

“Inisiatif ini akan memastikan harimau Malaya mempunyai peluang untuk terus hidup sambil memberi manfaat kepada komuniti tempatan dan menstabilkan ekosistem penting,” katanya.

Rizab Diraja Harimau Al-Sultan Abdullah, yang terletak berhampiran Taman Negara di Pahang, meliputi kawasan seluas 1,340 kilometer persegi dan merupakan habitat kritikal untuk harimau Malaya.

Usaha pemuliharaan di rizab itu juga akan menangani perubahan iklim dengan melindungi hutan hujan yang menyimpan berjuta-juta tan karbon.

Komuniti tempatan dan Orang Asli akan memainkan peranan utama dan mendapat manfaat daripada pekerjaan berkaitan pemuliharaan serta peluang pelancongan lestari di rizab tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.