Mangsa banjir Johor lebih 2,000 orang

Mangsa banjir Johor lebih 2,000 orang

Kota Tinggi menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 1,172 orang mangsa.

banjir floods pps
Seramai 2,498 orang mangsa banjir di Johor ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara melibatkan empat daerah terjejas, setakat 8 pagi tadi. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Jumlah mangsa banjir di Johor masih tinggi dengan 2,498 orang ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan empat daerah terjejas, setakat 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Azmi Rohani, berkata mereka yang membabitkan 732 keluarga itu dari Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Johor Bahru.

Katanya, Kota Tinggi menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 1,172 orang mangsa diikuti Pontian dengan 739 mangsa, Kluang dengan 534 mangsa dan Johor Bahru melibatkan 53 mangsa, lapor Harian Metro.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir dan hujan berterusan di mana-mana daerah di negeri itu.

Sungai Kahang yang juga sub lembangan Sungai Endau di Kluang mencatatkan paras bahaya iaitu 14.73 meter.

Setakat pagi tadi, Segamat, Kluang dan Batu Pahat dilaporkan hujan, manakala Pontian, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai dilaporkan mendung.

Johor Bahru, Muar dan Mersing pula dilaporkan cerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.