
Nanta berkata, buat masa ini kementerian sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan ingin dipilih untuk dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Buat masa ini adalah untuk perhalusi untuk dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Keputusan bagaimana kita nak pilih pelaksanaan MLFF nanti ada beberapa peringkat.
“Kita cuba Januari ini…tak mahu tergesa-gesa (sebab MLFF) ini penting,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kerja Raya.
Pada 21 Nov lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, berkata keputusan mengenai penggunaan sistem pembayaran MLFF dijangka dimuktamadkan 16 Dis lalu.
Beliau berkata, cadangan pelaksanaan MLFF itu kini masih dalam pertimbangan teliti kementerian selain perlu mendapatkan persetujuan syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.
Sebelum ini, FMT melaporkan 32 syarikat konsesi lebuh raya membantah langkah kerajaan secara langsung menganugerahkan projek MLFF bernilai RM3.46 bilion kepada sebuah syarikat swasta tanpa rundingan dengan mereka, selain dikatakan jumlah kos melambung 30%.
Di bawah projek MLFF, semua laluan keluar dan masuk lebuh raya terlibat akan ditukar kepada laluan tiada halangan bagi mengurangkan kesesakan dan menyuraikan aliran trafik.
Dalam perkembangan berasingan, Nanta berkata kos keseluruhan membaiki jalan rosak akibat banjir susulan monsun timur laut di Semenanjung berjumlah RM45.37 juta manakala di Sabah dan Sarawak sebanyak RM56.2 juta.
Menurutnya, terdapat sembilan lokasi terkesan rosak akibat monsun timur laut dan ia termasuk cerun runtuh.
“Lokasi terlibat di Kelantan ada dua, Perak (5) dan Terengganu (2). Mungkin ada belum dilaporkan,” katanya.