
Bank digital generasi baharu, bawah jenama Ryt Bank telah menerima kelulusan untuk memulakan operasi pada 20 Dis lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Ryt Bank, Melvin Ooi, berkata bank berkenaan akan dilancarkan berperingkat bagi memastikan kelancaran operasinya, sekali gus mengubah landskap sistem perbankan di Malaysia.
“Dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyediakan pengalaman tiada tandingan kepada pelanggan, kami akan menyampaikan perkhidmatan kewangan yang bermakna dan inklusif,” katanya dalam kenyataan.
Ryt Bank dikuasakan oleh AI direka mengikut keperluan pelanggan dan berperanan sebagai jurubank persendirian bagi memudahkan perkhidmatan perbankan mengikut kesesuaian mereka.
Sebelum ini, Bank Negara (BNM) meluluskan operasi lima bank digital iaitu GXBank Bhd, Boost Bank Bhd, SeaBank Malaysia, AEON Bank Bhd dan KAF Investment Bank Bhd.