
Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata walaupun kerajaan memberi jaminan akan meneliti untuk menaikkan harga lantai belian padi yang diputuskan pada kadar RM1,300 setiap tan, demonstrasi pesawah baru-baru ini berkenaan isu itu menunjukkan kerajaan masih gagal membela nasib petani.
Selain masalah yang membelenggu pesawah, naib presiden Bersatu itu berkata masalah beras tempatan yang ghaib di pasaran juga masih gagal diselesaikan sehingga kini.
“Sepatutnya, kerajaan perlu lebih sensitif dengan masalah yang dihadapi pesawah demi keterjaminan makanan negara.
“Justeru, Perikatan Nasional (PN) menyokong desakan pesawah agar harga lantai belian padi dinaikkan.
“Kerajaan juga perlu mengawal selia pengilang agar sebarang perbuatan manipulasi harga belian padi yang menganiaya pesawah dapat dikekang,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga lantai belian padi RM1,300 bagi setiap tan dengan pengilang menawarkan harga belian lebih tinggi iaitu antara RM1,500 hingga RM1,800 di pasaran terbuka.
Bagaimanapun, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah penetapan itu yang diputuskan pada mesyuarat pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras, baru-baru ini.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob, dilaporkan berkata penetapan harga itu tidak adil dan tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat ketika ini.
Susulan itu, beliau mahu kerajaan mengkaji semula penetapan harga minimum belian padi dan mengambil kira beberapa faktor terpaksa ditanggung petani seperti kenaikan kos pengeluaran padi mendadak, pendapatan dan kebajikan pesawah.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata kerajaan setuju untuk meneliti menaikkan harga lantai belian padi berbanding RM1,300 ketika ini.