
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar juga menasihat bakal jemaah untuk melawat pejabat agensi pelancongan dipilih dan membuat semakan latar belakang serta rekod prestasi syarikat itu.
“Dengan langkah-langkah yang diambil ini, kita akan dapat menjalani ibadah umrah dengan tenang,” katanya kepada FMT.
Beliau turut menggesa mereka yang menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan untuk membuat laporan polis dan aduan kepada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac).
Naim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penipuan umrah melibatkan syarikat pelancongan yang gagal menyediakan tiket, hotel, dan visa untuk 300 jemaah yang sepatutnya berlepas semalam.
Susulan itu, ada diantara mereka yang ‘berkampung’ di luar premis syarikat sejak 10 pagi kelmarin bagi menuntut kembali wang mereka.
Seorang mangsa Azieda Azhar berkata dia dan suaminya mengambil pakej ‘cinta’ berjumlah RM11,000 dan mereka sepatutnya berlepas menunaikan umrah pagi tadi.
“Sehingga kini kami belum dapat apa-apa penjelasan daripada pemilik. Sekarang kami nak dapatkan bayaran balik sahaja. Tapi, bayaran balik tu macam tipis nak dapat kerana pemilik tak dapat dihubungi, pegawai dia hubungi pemilik pun tak dapat,” katanya kepada FMT.
Naim berkata bakal jemaah yang mahu menunaikan umrah boleh membuat semakan di www.motac.gov.my/semakan/umrah bagi memastikan syarikat adalah berlesen dibawah Motac.