
Katanya, beliau berpandangan larangan bersuara itu tidak patut dikenakan memandangkan perkara itu sudah menjadi domain awam dan berkemungkinan akan dibincang dalam sidang Dewan Rakyat bulan depan.
Namun, beliau mengakui Jabatan Peguam Negara mempunyai alasan tersendiri untuk memohon larangan tersebut, dan menekankan kehakiman dibenarkan bertindak bebas dalam hal berkenaan.
“Untuk berlaku adil, saya fikir Jabatan Peguam Negara mempunyai alasan undang-undang sendiri, dan mereka memfailkan permohonan rasmi (larangan bersuara). Jadi, biarlah mahkamah buat keputusan,” katanya kepada pemberita ketika hadir Persidangan Pembiayaan Politik Antarabangsa, di Hotel Majestic.
Azalina juga menolak kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa penjelasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkait tindakan peguam negara mendedahkan kerajaan kepada konflik undang-undang dan Perlembagaan.
“Kes sedang berada di mahkamah. Sama ada ia betul atau salah, terpulang kepada hakim. Mungkin Takiyuddin boleh bangkitkan kebimbangan itu dalam afidavitnya,” katanya.
Peguam mewakili Ahli Parlimen Perikatan Nasional dijangka memfailkan permohonan rasmi untuk hadir sebagai peguam pemerhati dalam prosiding semakan kehakiman Najib.
Awal hari ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi, memberi amaran larangan bersuara hanya akan memburukkan lagi defisit kepercayaan terhadap kerajaan.
Katanya, wajar bagi Jabatan Peguam Negara membatalkan permohonan larangan itu, sambil mendakwa ia akan memberi isyarat kerajaan ada banyak lagi rahsia yang mahu disorokkan.
Sebelum ini, Muda turut mengkritik kerajaan memohon larangan bersuara dengan menyatakan Putrajaya tidak patut mengekang kebebasan bersuara berkait perkara itu.