Pulau Sibuan dibuka semula Rabu

Pulau Sibuan dibuka semula Rabu

Ia akan dibuka kepada pelancong pada 15 Jan sebaik polis dan pasukan keselamatan serta Taman-taman Sabah selesai kerja pembersihan dan pengumpulan sisa bom.

Bom lama atau unexploded ordnance (UXO) berjaya dimusnahkan penyelam tentera laut Sabtu lalu. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Pulau Sibuan yang ditutup sementara sejak 7 Jan susulan penemuan bom lama tinggalan Perang Dunia Kedua, dibuka semula Rabu ini selepas semua langkah keselamatan selesai dilaksanakan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew, berkata bom lama atau unexploded ordnance (UXO) itu berjaya dimusnahkan penyelam ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sabtu lalu.

“Pulau Sibuan akan dibuka semula kepada pelancong pada 15 Jan sebaik sahaja pihak polis dan pasukan keselamatan serta Taman-taman Sabah (TTS) selesai membuat kerja pembersihan dan pengumpulan sisa-sisa bom,” katanya dalam kenyataan.

Liew berkata, penutupan sementara pulau tersebut bermula apabila dua pengawal pantai TTS yang bertugas di Pulau Sibuan menjumpai objek menyerupai sebutir bom lama ketika melakukan aktiviti pemantauan dan pembersihan kawasan snorkeling di Pulau Sibuan.

“Pengurus taman, Taman Marin Tun Sakaran telah dimaklumkan mengenai penemuan tersebut dan laporan polis telah dibuat pada hari yang sama. Pegawai penempatan Pos Pulau Sibuan 10 RAMD, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah dimaklumkan tentang perkara tersebut.

“Tujuan pihak TTS bertindak menutup sementara Pulau Sibuan daripada sebarang aktiviti pelancongan serta-merta adalah untuk memastikan keselamatan pelawat dan staf yang bertugas di pulau tersebut terjamin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.