
Wan Agyl Wan Hassan, pengasas My Mobility Vision, berkata pembaharuan berani dan tanpa kompromi diperlukan untuk mengatasi kegagalan sistemik selama beberapa dekad.
“Tanpa pembaharuan drastik, pengendali baharu mungkin mewarisi amalan cacat sama, mengekalkan kitaran keselamatan jalan raya terjejas,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, monopoli Puspakom membawa kepada dakwaan rasuah, penipuan kelulusan dan skim pertukaran bahagian.
Monopoli itu mewujudkan sistem tidak terkawal yang membenarkan kenderaan tidak selamat di jalan raya, secara langsung menyumbang kepada jumlah kematian tinggi.
Pada 2 Jan lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, lebih 10 syarikat memohon untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan selepas tamatnya monopoli Puspakom pada 31 Ogos 2024.
Beliau berharap dapat memperkenalkan pengendali baharu menjelang akhir tahun ini.
Wan Agyl berkata, peserta baharu dalam perniagaan pemeriksaan kenderaan akan berdepan cabaran besar, termasuk keperluan modal tinggi dan peraturan ketat.
Beliau mencadangkan badan kawal selia bebas ditubuhkan untuk mengawasi pengendali perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, selain insentif bagi menyediakan akses luar bandar kepada perkhidmatan itu.
“Terdapat juga risiko pemecahan pasaran, di mana kawasan bandar mendapat manfaat daripada saingan semakin banyak, manakala masyarakat luar bandar masih kurang mendapat perkhidmatan.
“Tanpa insentif jelas daripada kerajaan untuk akses luar bandar, seperti subsidi atau pelepasan cukai, proses liberalisasi boleh mewujudkan ketaksaksamaan baharu berbanding menyelesaikan isu sedia ada.”