Pengambilalihan MASwings selesai, kata Abang Jo

Pengambilalihan MASwings selesai, kata Abang Jo

Premier Sarawak itu berkata majlis perjanjian jual beli syarikat itu antara kerajaan negeri dengan Malaysia Aviation Group berlangsung pada Februari.

pesawat maswings
Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata nama baharu syarikat penerbangan itu akan diumumkan selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata rundingan pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) selesai dimuktamadkan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2025, beliau berkata majlis menandatangani perjanjian jual beli (SPA) syarikat penerbangan itu antara kerajaan negeri dengan Malaysia Aviation Group (MAG) akan berlangsung pada Februari.

“Apa saya dapat dedahkan hari ini ialah (pembelian) MASwings beres … kemungkinan besar (majlis) SPA diadakan di Kuching.

“Rundingan telah selesai, maknanya kerajaan Sarawak ambil alih dengan nilai aset yang dipersetujui antara kedua-dua pihak,” katanya yang enggan mendedahkan nama baharu syarikat itu.

Abang Johari berkata nama syarikat berkenaan telahpun diputuskan dan ia akan diumumkan selepas majlis SPA.

Sebelum ini, media melaporkan proses rundingan nilai aset berkenaan melibatkan aspek pengendalian darat di lapangan terbang yang terbabit.

Antara destinasi antarabangsa menjadi pilihan syarikat penerbangan Sarawak susulan pengambilalihan itu termasuk Jerman, Korea, Jepun, Hong Kong dan Bangkok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.