
DVS berkata, pihaknya mengesan video 37 saat tular di media sosial sejak kelmarin memaparkan sekumpulan individu memasukkan beberapa ekor kucing ke dalam guni dan but kereta.
Bertindak atas maklumat itu, katanya, sepasukan pegawai kebajikan haiwan Selangor bergegas ke lokasi aduan untuk menjalankan pemeriksaan.
“Pemeriksaan awal mendapati kejadian dilaporkan berlaku antara 9 pagi sehingga 3 petang kelmarin membabitkan penduduk di sekitar lokasi aduan yang dalam program gotong-royong anjuran bersama pihak pengurusan bangunan (JMB) perumahan berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, sebuah Nissan Sentra, beberapa guni dan sangkar dipercayai digunakan untuk mengangkut kucing disita untuk siasatan mengikut Subseksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Katanya, keterangan beberapa suspek turut diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Semalam, Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, polis menerima dua laporan mendakwa beberapa kucing disumbat dalam guni dan dibuang di sebuah pangsapuri di Batu 9 Cheras.
Beliau berkata, satu daripada laporan itu dibuat ahli jawatankuasa persatuan penduduk pangsapuri dirakam dalam video tular berkenaan, di mana mereka menafikan menganiaya dan mendera kucing terbabit.