
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, bagaimanapun berkata peguam utama Najib, Shafee Abdullah membantah langkah itu.
“Kami memohon perintah itu dan minta ia kekal berkuat kuasa sementara menunggu keputusan perbicaraan kerana ia menyentuh isu sensitif,” katanya selepas pengurusan kes di depan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Menurutnya, hakim kini mengarahkan kerajaan memfailkan permohonan rasmi menjelang 20 Jan ini.
Najib akan diberikan tempoh seminggu untuk menjawab permohonan itu.
Sementara itu, Shafee berkata, beliau membantah permohonan itu kerana ia terlalu lewat untuk berbuat demikian.
“Ia isu kepentingan awam dan sudah dibahaskan secara meluas. Malah, perdana menteri juga pernah membincangkannya di dalam dan luar Parlimen.”
Peguam yang mewakili Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) juga diminta memohon kepada mahkamah untuk menjadi pemerhati dalam prosiding semakan kehakiman.
Hayatul Akmal mengarahkan Azhar Harun, Takiyuddin Hassan dan Zulkifli Noordin yang mewakili Ahli Parlimen pembangkang untuk membuat permohonan rasmi selewat-lewatnya 27 Jan depan dengan kerajaan akan menjawabnya sebelum 10 Feb.
Minggu lalu, Najib memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan suatu titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkan beliau jalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.
Sidang tiga hakim di Mahkamah Rayuan, dalam keputusan majoriti, juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu apabila merit kes diperdengarkan di Mahkamah Tinggi.
Pada 2 Feb tahun lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dihadapinya dikurangkan separuh dari 12 kepada enam tahun dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Beliau kini menjalani hukuman di penjara Kajang.