Dasar wajib sekolah menengah atasi keciciran SPM, kata Fadhlina

Dasar wajib sekolah menengah atasi keciciran SPM, kata Fadhlina

Fadhlina Sidek berkata dasar itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat, bulan depan.

spm
Dianggarkan ribuan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tercicir daripada menduduki peperiksaan utama terbabit. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dasar mewajibkan pendidikan sekolah menengah menjadi antara inisiatif mengatasi masalah keciciran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjumlah ribuan murid setiap tahun.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, bulan depan, dasar itu akan mengangkat sistem pembelajaran peringkat menengah untuk membantu mengubah kehidupan murid dengan kelulusan lebih baik.

Fadhlina SideK
Fadhlina Sidek.

“Kita harap ini langkah dapat dilaksanakan sebaik mungkin bagi atasi isu kehadiran, keciciran dan peningkatan kualiti pendidikan dalam negara,” katanya selepas majlis penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

Dasar mewajibkan pembelajaran di sekolah menengah akan dibuat menerusi pindaan Akta Pendidikan 1996 yang telah selesai di peringkat Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, Fadhlina meminta semua pihak menunggu 6 Feb depan bagi membuat kesimpulan isu pelajar gagal hadir kertas Bahasa Melayu bagi SPM 2024.

Menurutnya, angka itu disifatkan belum matang dan telah digembar gemburkan walaupun peperiksaan berkenaan belum tamat.

“Jadi minta masa sehingga 6 Feb untuk kita rumuskan dan pastikan semua proses berkaitan kehadiran anak-anak kita ini untuk konklusi lebih tepat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) tiada masalah untuk mempertimbangkan cadangan memperluaskan pemberian BAP kepada pelajar pra sekolah jika ada keperluan.

“Kalau ada pertimbangan dan melihat kepada keperluan itu kita tak ada masalah untuk dipertimbangkan. Untuk tahun ini mulakan tingkatan 6 dulu,” katanya.

Seramai 5.2 juta murid menerima BAP bernilai RM150 untuk tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.