8,909 pelajar dapat tawaran ke MRSM tahun ini

8,909 pelajar dapat tawaran ke MRSM tahun ini

Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki berkata semua mereka memenuhi kelayakan minimum termasuk melepasi Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM dan syarat lain ditetapkan.

Bagi tahun ini, sebanyak 93,635 permohonan diterima bagi kemasukan ke Tingkatan Satu dan Empat di Maktab Rendah Sains Mara, kata Asyraf Wajdi Dusuki. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seramai 8,909 pelajar ditawarkan tempat bagi melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu dan Empat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi kemasukan tahun ini, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata pemohon yang berjaya telah memenuhi kelayakan minimum termasuk melepasi Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) dan memenuhi syarat lain yang ditetapkan.

“Bagi tahun ini, Mara menerima sebanyak 93,635 permohonan bagi (kemasukan) ke Tingkatan Satu dan Empat, hanya 8,909 sahaja berjaya ditempatkan.

“Seramai 7,229 pelajar ditempatkan bagi kemasukan Tingkatan Satu manakala seramai 1,680 pelajar bagi Tingkatan Empat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Mara Integrated Accounting Conference (MiCA) di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata Mara terus komited dengan dasar inklusifnya dengan menawarkan 60% tempat di MRSM kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan kawasan luar bandar.

Beliau berkata faktor kewangan tidak seharusnya menjadi halangan bagi pelajar menerima tawaran diberikan kerana Mara telah mengambil langkah membantu keluarga yang memerlukan, khususnya keperluan seperti pakaian seragam, buku dan peralatan asrama.

“Ibu bapa atau penjaga disarankan berhubung dengan pihak Mara atau MRSM yang berkaitan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Mara turut memberi jaminan usaha mengekalkan kualiti pendidikan di MRSM akan terus diperkukuh, sejajar falsafahnya untuk melahirkan pelajar holistik dan cemerlang dalam pelbagai aspek.

Semakan tawaran dibuka hari ini bermula 12 tengah hari secara dalam talian dan makluman kepada pemohon berjaya telah dihantar melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang didaftarkan semasa permohonan dibuat.

Pemohon yang tidak membuat pengesahan terima dalam tempoh tujuh hari dianggap menolak tawaran.

Bagi pemohon yang layak dan masih belum mendapat tawaran boleh membuat semakan pada 13 Jan, semakan kedua (27 Jan), semakan ketiga (3 Mac) dan semakan keempat (17 Mac).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.