SPRM sambung reman 3 dalam kes berkait surat LKP

SPRM sambung reman 3 dalam kes berkait surat LKP

Reman dua pemilik syarikat dan seorang kakitangan agensi sebuah kementerian disambung tiga hari.

macc
SPRM sambung reman tiga suspek yang ditahan Bahagian Perisikan SPRM menerusi Op Loader di sekitar Lembah Klang dan Melaka.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambung reman dua pemilik syarikat dan seorang kakitangan agensi sebuah kementerian dalam siasatan kes rasuah berhubung surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP).

Bernama memetik sumber melaporkan perintah reman tiga hari sehingga 15 Jan itu diperoleh hari ini, sebaik tempoh reman asal tamat.

Ketiga-tiga suspek sebelum ini antara lapan individu yang ditahan Bahagian Perisikan SPRM menerusi Op Loader di sekitar Lembah Klang dan Melaka, Rabu lepas.

Menurut laporan itu, bagi mengeluarkan surat tawaran kelulusan LKP berkenaan, pegawai agensi itu dipercayai bersekongkol dengan syarikat yang bertindak menyediakan maklumat palsu seperti penyata bank selain mengurus proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan dan Surat Kelulusan Lanjut Usia bagi membolehkan kenderaan perdagangan yang tidak layak menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom.

“Berdasarkan risikan, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis kenderaan dan usia kenderaan yang ingin memohon LKP terbabit,” kata sumber agensi berita itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya dilapor mengesahkan sambung reman ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.