Sindiket menyamar polis, anggota pusat scam kebangsaan tumpas di Miri

Sindiket menyamar polis, anggota pusat scam kebangsaan tumpas di Miri

Sindiket tawar kerja sebagai operator melalui media sosial dengan scammer dilatih menipu menerusi skrip.

Alexson Naga Chabu
Ketua Polis Miri Alexson Naga Chabu, berkata sindiket menyamar pegawai polis dan anggota Pusat Respons Scam Kebangsaan dipercayai beroperasi sejak Nov tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis berjaya menumpaskan dua sindiket penipuan merekrut keldai akaun dan menyamar pegawai polis dan anggota Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), dalam dua serbuan berasingan di Miri.

Ketua Polis Miri Alexson Naga Chabu, berkata dalam serbuan pada 8 dan 10 Jan itu, seramai 11 individu termasuk seorang wanita ditangkap.

Katanya, dalam serbuan pertama di pusat komersial Boulevard, dua lelaki tempatan berusia 34 dan 46 tahun ditahan dipercayai merekrut orang ramai sebagai keldai akaun.

“Polis turut merampas sebuah kereta, tujuh telefon pintar pelbagai jenama, 44 kad ATM, 29 kad sim, dua beg dan wang tunai berjumlah RM32 serta buku nota mengandungi nombor akaun bank,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Miri.

Alexson berkata, dalam serbuan kedua Jumaat lalu, polis menahan sembilan individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun di sebuah rumah di Taman Bayshore.

Beliau berkata, polis turut merampas antaranya 20 telefon pintar, dua komputer, dua komputer riba, dan tablet, selain tujuh set dokumen mengandungi maklumat mangsa serta skrip yang digunakan ketika menyamar sebagai anggota pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak Nov 2024 dan terlibat penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai pegawai polis dan anggota Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

“Suspek diberikan skrip untuk dihafal dan dilatih bagaimana untuk menipu mangsa,” katanya dan memaklumkan mereka direkrut melalui media sosial dengan ditawarkan pekerjaan sebagai operator.

Beliau berkata, nilai rampasan dalam operasi pertama dan kedua masing-masing berjumlah RM40,000 serta RM30,000 dan semua suspek kini direman dengan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.