6,500 keluarga B40, 2,000 pelajar Permatang Pauh terima sumbangan

6,500 keluarga B40, 2,000 pelajar Permatang Pauh terima sumbangan

Keluarga B40 menerima barangan dapur dan keperluan asas harian manakala pelajar diberi bantuan kelengkapan persekolahan.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan dalam program diadakan di Majlis Bandaraya Seberang Perai.
PETALING JAYA:
Seramai 6,500 keluarga B40 dan 2,000 pelajar di Permatang Pauh menerima sumbangan Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (Ko-Khawan) menerusi Yayasan Muhibah Malaysia dalam program diadakan semalam.

Pengerusi Ko-Khawan, Eng Yee Koon, berkata setiap keluarga B40 menerima barangan dapur dan keperluan asas harian dianggarkan bernilai RM100.

Katanya, pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kumpulan B40 serta anak yatim pula menerima beg dan uniform bersama alat tulis bagi memastikan mereka memulakan sesi persekolahan dengan penuh semangat.

“Kami tidak hanya memberikan bantuan material, tetapi juga kasih sayang dan harapan. Masyarakat perlu tahu bahawa golongan yang kurang bernasib baik tidak seharusnya dilupakan dan perlu dibantu,” katanya dalam kenyataan.

sumbangan Yayasan Muhibah Malaysia
Antara barangan keperluan yang disumbangkan kepada golongan memerlukan.

Sumbangan kepada golongan terbabit dalam program diadakan di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) disampaikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Eng berkata, pihaknya amat terharu dan berterima kasih dengan sokongan diberikan pemimpin peringkat nasional dan negeri untuk menjayakan program kali ini.

Beliau berharap lebih ramai usahawan berjaya akan menyertai Ko-Khawan dan melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan B40 terutama melalui kecemerlangan akademik.

Ditubuhkan tahun lalu, Yayasan Muhibah Malaysia adalah inisiatif Ko-Khawan yang mempunyai 300 ahli dengan misi utama membantu golongan kurang bernasib baik termasuk anak yatim, ibu bapa tunggal dan pelajar golongan B40.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.