
Hari ini, Mahathir yang juga bekas ketua Bersatu Segambut, melepaskan jawatan setiausaha Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan kuat kuasa serta-merta.
Katanya kepada FMT, beliau memberi alasan bahawa ‘perjuangan sudah tidak selari’ menjadi sebab tindakannya itu.
Penyandang Timbalan Ketua Bersatu Wilayah Persekutuan, Mohd Badrul Ezan, berkata pihaknya menghormati hak Mahathir meninggalkan parti, namun ia tidak sampai menjejaskan Bersatu secara keseluruhan.
“Sebelum ini dalam kalangan kepimpinan Bersatu Wilayah (Persekutuan) tiada pergolakan antara kami, hubungan baik sahaja dan kami tahu beliau umum keluar parti hanya melalui kenyataan media sahaja.
“Tindakan beliau keluar parti tidak menjejaskan Bersatu Wilayah dan kita akan terus bergerak ke depan bagi persiapan PRU akan datang. Kita juga baru sahaja lepas adakan pemilihan parti dan di wilayah ini majoriti ketua bahagian dari kalangan muka baharu dari pelbagai latar belakang,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Ketua Bersatu Segambut Dr Nur Izzah Norma meluahkan rasa kecewa susulan keputusan dibuat Mahathir.
“Saya selaku ketua di Segambut amat kesal dengan keputusan yang telah diambil. Namun, segala keputusan dan kenyataan beliau tidak mencerminkan pandangan bahagian secara keseluruhannya.
“Bersatu Segambut mengambil pendekatan kekal bersama dengan kepimpinan Bersatu Malaysia.”
Terdahulu, Mahathir dalam surat dihantar memaklumkan keluar parti kepada Radzi Jidin sebagai penyandang jawatan ketua Bersatu Wilayah Persekutuan.
Mahathir adalah pemimpin bahagian lantang mengkritik himpunan diketuai PAS menyokong Najib Razak pada 6 Jan, mengatakan ia mencerminkan kesediaan PN berkompromi dengan prinsipnya demi kepentingan politik.